Konflik menantu dan ibu mertua..

Admin
0

Hubungan kurang mesra antara menantu dan mertua seolah-olah menjadi rempah ratus yang menyedapkan adat berkeluarga. Selagimana tidak sampai memutuskan silaturahim, konflik-konflik kecil dianggap sebagai lumrah hidup yang mesti dilalui dengan tenang, banyak bersabar dan tak perlu merungut untuk hal-hal remeh-temeh yang tak penting.

Tetapi, wanita sekarang pantang dikongkong. Jangan sekali masuk campur hal rumahtangganya walau ibu bapa mertua sendiri. Apakah hal ini sesuai dengan ajaran agama?
Islam meletakkan ‘kuasa mengurus rumahtangga’ di tangan isteri, bukan ibu atau ibu mertua. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Akan tetapi, tidaklah dia boleh berbuat sesuka hati hingga memutuskan hubungan silaturahim. Ramai yang menyangka kewajipan terhadap mertua tidak sama dengan kewajipan terhadap ibu bapa sendiri. Pandangan sebegini nyata tidak tepat. Hakikatnya kedudukan ibu bapa kandung dengan ibu bapa mertua adalah sama di sisi Islam. Hal ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Antara dosa-dosa besar adalah seorang anak yang menghina kedua orang tuanya.” Para sahabat bertanya: Apakah ada orang yang mencela ibu bapanya sendiri? Baginda bersabda: Ya, apabila seseorang menghina ayah orang lain maka sama seperti dia menghina ayahnya sendiri. Dan seseorang yang menghina ibu orang lain sama seperti dia menghina ibunya sendiri.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Islam meletakkan keadilan bagi semua, bukan untuk menantu saja tetapi juga kepada mertua dan ibu bapa kandung mereka. Masing-masing mempunyai tugas dan peranan, tidak boleh menceroboh wilayah yang bukan wilayahnya. Ibu bapa dan mertua hanya berperanan menjadi penasihat, jika memang tercetus konflik tanpa memihak dengan berat sebelah. Apa-apa keputusan berada di tangan suami dan isteri tanpa campur tangan pihak lain yang tidak sejalan dengan mereka.

Ibu bapa yang beriman, tidak akan membebankan anak-anaknya dengan kerenah yang menguji kesabaran mereka. Jika ada seorang ibu yang suka membakar api permusuhan, selalu bertegang leher dengan anak dan menantunya, maka seolah-olah dia telah membuka pintu neraka untuk mereka. Hal ini pernah terjadi kepada diri seorang sahabat Rasulullah SAW. Dia bertanya kepada NAbi SAW: “Wahai Rasulullah, saya memiliki hubungan kekerabatan, saya selalu berusaha menyambungkannya namun mereka selalu memutuskannya. Saya selalu berusaha berbuat baik kepada mereka, mereka pula membalas dengan berbuat jahat kepada saya. Saya sentiasa santun kepada mereka, tetapi mereka tidak mempedulikan saya. Nabi SAW bersabda: Seandainya benar apa yang kamu ucapkan itu, maka seolah-olah kamu menyuapkan abu panas kepada mereka (mereka berdosa). Allah SWT sentiasa berada di belakangmu, sepanjang mereka melakukan perbuatan itu kepadamu” (Hadis riwayat Muslim)

Boleh jadi yang mahu memutuskan silaturrahim itu ibu bapa atau mertua ataupun anak menantu sendiri, terpulanglah kepada niat mereka masing-masing. Yang penting ialah belajar bersabar dan reda menerima satu sama lain dengan harapan mendapat pertolongan Allah SWT. Kadang-kadang setelah bertahun-tahun pintu hati ibu bapa mertua tidak juga terbuka kepada menantu. Atau pun sebaliknya kedegilan menantu tidak juga berubah walaupun mertua berusaha meluruskan salah faham di antara mereka.
Mengapa hati mereka tidak boleh bersatu? Adakah resepi yang mujarab untuk memperbaiki hubungan ini?

1. Menziarahi kerana Allah SWT.
Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ada seorang lelaki yang mahu menziarahi saudaranya di desa lain. Maka Allah SWT mengutus malaikat untuk mengujinya. Ketika malaikat berjumpa dengannya, malaikat itu bertanya: Hendak ke manakah kamu? Dia menjawab: Aku akan menziarahi saudaraku.yang berada di desa itu. Malaikat bertanya lagi: Apakah engkau menziarahinya kerana berasa berhutang budi kepadanya? Dia menjawab: Sesungguhnya aku tidak menziarahinya kecuali kerana cinta kepadanya semata-mata kerana Allah SWT. Malaikat berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu. Dan sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Walaupun ada unsur-unsur penolakan yang ketara ketika menjejakkan kaki di rumah mertua, sebaiknya menantu tetap mengikhlaskan niat kerana mahukan keredaan Allah SWT. Walaupun cinta dan kasih sayang tidak bersambut tetapi anda mesti yakin Allah SWT menyambut cinta orang yang ikhlas.

2. Selesaikan konflik dengan musyawarah
Suatu hari terjadi perselisihan di antara Nabi SAW dengan Aisyah RA sehingga Abu Bakar (bapa mertua NAbi SAW) turut campur tangan mahu memulihkannya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah: Kamu yang bercakap atau aku dahulu? Kemudian Aisyah berkata: Kamu yang bercakap dan jangan kamu bercakap kecuali yang benar.! Mendengar jawapan itu, Abu Bakar lalu menampar muka Aisyah (sehingga mulutnya berdarah) kemudian berkata kepada Aisyah: Apakah Rasulullah SAW bercakap selain kebenaran, wahai musuh dirinya sendiri? Kemudian Aisyah berlindung di belakang Rasulullah. Kemudian Nabi SAW bersabda: Kami tidak memanggilmu untuk melakukan ini atau mengharapkanmu melakukan seperti ini.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Rasulullah SAW mempercayai mertuanya dan mahu berbincang untuk menyelesaikan masalah rumahtangganya, mertuanya pula tidak mengambil kesempatan unuk menyusahkan menantu semata-mata mahu membela anak sendiri. Teladan yang semakin susah untuk dipraktikkan. Tetapi inilah bentuk kasih sayang dan keindahan Islam.

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)