Punca ramai pasangan muda yang bercerai ?

Admin
0

DIPETIK DARI BUKU BANGKITLAH SELEPAS BERCERAI....
Berdasarkan statistik perceraian yang dibuat oleh pihak yang berwajib, jumlah pasangan yang bercerai majoritinya terdiri daripada mereka yang berusia 30-an ke bawah. Hal ini menunjukkan nilai institusi rumahtangga yang dibina oleh generasi muda hari ini kurang dihargai berbanding institusi rumahtangga generasi ibubapa kita yang terdahulu.
Kita semua sudah jenuh melihat orang yang berkahwin dengan meriah, penuh adat istiadat, persandingan yang bagaikan raja, hantaran dan belanja perkahwinan berjumlah puluhan ribu akhirnya berakhir di tengah jalan sekalipun tempoh perkahwinan belum pun mencecah sepuluh tahun.
Sukar untuk menjawab secara pasti apakah sebab utama perceraian orang-orang muda hari ini tetapi secara keseluruhan berdasarkan lima tahun pengalaman saya berhubung dengan masyarakat melalui soal jawab agama dan khidmat nasihat yang pernah diberikan secara umumnya saya boleh menyimpulkan pada peribadi saya bahawa punca utama perceraian generasi muda hari ini ialah bukan disebabkan oleh faktor luaran tetapi lebih banyak kerana faktor dalaman dan kelemahan pada diri mereka sendiri.

ANAK MUDA KURANG BERTANGGUNGJAWAB

Ramai ibubapa dan golongan tua pasti bersetuju dengan saya jika saya mengatakan bahawa generasi muda-mudi hari ini ramai yang kurang memiliki sifat dan peribadi yang bertanggungjawab. Sikap pentingkan diri sendiri dan individualistik semakin berkembang di bandar-bandar besar bermula daripada sejak bangku sekolah sehinggalah kepada zaman universiti dan alam pekerjaan.
Masing-masing anak muda kita disemai dengan budaya persaingan di antara satu sama lain yang membentuk peribadi “keakuan” yang tersangat tinggi di kalangan mereka dan ramai yang gagal memiliki perasaan dan sikap simpati dan empati terhadap orang lain apatah lagi perihatin dan bertanggungjawabdi dalam kehidupannya.
Usah berbicara soal buang sampah merata-rata, beratur ketika menaiki bas atau berbahasa sopan dengan orang tua bahkan di dalam bas dan keretapi pun berapa ramai yang peduli untuk memberikan tempat duduk kepada orang tua dan wanita yang mengandung ?
Berbuat baik di kalangan remaja dan anak muda akan dianggap sebagai pelik, memalukan dan tidak kurang yang menganggap baik dan berbudi bahasa serta sopan itu sebagai lemah, “nerd” dan lembut sehingga budak-budak kita lebih suka permainan games komputer yang berbentuk ganas, jahat dan suka melanggar peraturan kerana lebih mencabar dan mahukan kebebasan diri sendiri.
Fokusnya ialah sentiasa pada diri sendiri dan mereka suka bebas dari belenggu tanggungjawab dan kewajipan.
Itulah kenapa perceraian kerap berlaku kepada generasi muda.
Mereka lebih suka mementingkan keperluan mereka, gagal menghargai nilai rumahtangga dan erti cinta dan sayang suami isteri sebaliknya lebih suka mengambil jalan menyendiri apabila menghadapi masalah dan gagal menunjukkan sifat bertanggungjawab atau “gentleman” apabila berdepan masalah.
Di dalam rumahtangga pengorbanan ialah suatu kemestian dan kewajipan setiap pasangan untuk memastikan keutuhan institusi rumahtangga yang telah dibina oleh pasangan masing-masing. Namun apabila tonggak rumahtangga yang satu ini iaitu pengorbanan telah gagal dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan maka jadilah institusi keluarga itu ibarat retak menanti roboh.
Daripada Ibnu Umar ra bahawa Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan ditanyai akan mengenai apa yang kamu pimpin.” [1]
Kepimpinan keluarga itu terletak ditangan suami yang menjadi ketua keluarga dan pemimpin dalam rumahtangga. Oleh itu apabila generasi muda kita gagal memiliki sifat tanggungjawab dan kepimpinan yang baik maka bagaimana huru-hara rumahtangga dapat dielakkan ?
Sikap lepas tangan dan gagal bertanggungjawab di atas apa yang dilakukan atau berusaha memperbaiki keadaan menjadi punca perceraian yang terbesar. Apabila wujud masalah semua pihak baik isteri mahupun suami mahu lekas segera mengambil jalan mudah dan tidak mahu bekorban atau menyusahkan diri untuk mencari jalan perdamaian.
Perceraian menjadi pilihan popular kerana mereka menganggap setelah berpisah dan masing-masing memulakan hidup yang baru maka semuanya akan selesai. Bagi menyedapkan hati maka mereka menganggap bahawa apa yang sudah berlaku adalah kesilapan pihak yang lain dan mahu segera menamatkan cerita serta mengharapkan kehidupan yang lebih baik selepas bercerai.
Apakah jaminan mereka bahawa masalah yang sama tidak akan berulang ?
Sikap dan peribadi mereka masih sama, tidak kira dengan siapa kemudiannya mereka berkahwin nanti namun masalah dan perangai buruk yang tidak diubah itu akan pasti menghantui kehidupan rumahtangga mereka yang kurang dengan sifat tanggungjawab dan pengorbanan.

RUMAHTANGGA ORANG DAHULU DIWARNAI DENGAN TANGGUNGJAWAB DAN PENGORBANAN

Jika kita membaca cerita-cerita orang dahulukala tentang kehidupan rumahtangga kita akan terpegun apabila mendapati kisah-kisah yang dipaparkan bukanlah berupa dongeng moden yang berbentuk khayalan yang mempesona seperti cuti berbulan madu di tasik biru atau bercuti di hotel mewah di tepi pantai.
Seawal usia belasan tahun ibubapa kita telah pun berkahwin namun dalam seusia itu pula mereka sudah pun mampu membina rumah dan menguasahakan sawah padi atau mencari rotan dan kayu dengan riang kudrat tenaga mereka sendiri. Menjadi adat dan tradisi dalam kehidupan orang lama bahawa sekiranya seseorang itu mahu berkahwin maka si lelaki itu perlu mampu mendapatkan seekor lembu bagi guna mengadakan kenduri kahwin nanti untuk dijamu kepada para tetamu.
Ibubapa mengukur kelayakkan calon menantu dengan kemampuannya untuk menyara hidup anak perempuan mereka melalui kemahiran, kebolehan dan kerajinan calon menantu untuk mencari rezeki dan membina kehidupan. Setelah berkahwin, pasangan orang tua kita dahulu perlu berdikari membina kehidupan mereka di dalam hutan. Aktiviti bercucuk tanam, menternak binatang dan pelbagai lagi diusahakan oleh mereka bagi mencari rezeki dan meneruskan kehidupan yang penuh dengan kesukaran namun kebahagiaan tetap dapat dikecapi bersama disebabkan wujud sikap saling memahami dan bantu membantu.
Susah senang dilalui bersama demikianlah kehidupan orang-orang tua kita dahulu.Bukan tiada masalah dalam kehidupan mereka dan bukannya pula tiada susah dalam hidup seharian mereka tetapi semuanya itu dihadapi dengan tabah dan penuh tanggungjawab dan pengorbanan demi memastikan kebahagiaan rumahtangga, isteri, anak-anak dan meneruskan kelangsungan hidup.
Bapa sanggup tidak makan kerana mahu melihat anak-anaknya kenyang dan ibu sanggup berpuasa kerana mahu menjimatkan bekalan air dan makanan yang ada di rumah. Semuanya mengikat perut demi melihat orang yang dikasihi dapat menikmati kebahagiaan. Itulah namanya kasih sayang yang menjadi pengikat dan keutuhan sesebuah institusi rumahtangga yang terbina.
Telah diriwayatkan oleh 'Aishah bahawa Baginda rasulullah bersabda: "Sesiapa yang menjaga anak-anak perempuan itu dan menjaga mereka dengan baik, maka mereka akan menjadi pelindung untuk dirinya daripada api Neraka.” [2]
Sayangnya pada hari ini masyarakat kita telah berubah sepenuhnya menjadi lebih pentingkan diri sendiri sehinggakan kepada ibubapa yang sepatutnya bekorban untuk anak-anak pun telah terbalik dengan mengorbankan anak-anak mereka demi kepentingan diri sendiri. Hal ini pernah ditimbulkan oleh seorang anak gadis yang mengadu kepada mufti Mekah bahawa bapanya telah melarangnya untuk berkahwin hanya semata-mata disebabkan mahu menikmati hasil gaji pendapatan anak perempuannya itu.
Bahkan Syeikh Muhammad Soleh Al-Utsaimin menyatakan dalam fatwanya pada Kitab Al-Fatawa Asy-Syar'iyyah Fi Al-Masa'il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram menyebutkan bahawa adalah berdosa dan haram hukumnya kepada ibubapa yang enggan menikahkan anak gadisnya kerana mahu mendapatkan manfaat daripada hasil gaji anak-anaknya itu.

Ibubapa ditaati hanya dalam hal yang membawa manfaat kepada agama disebabkan Allah SWT menyuruh kita mentaati ibubapa dengan tujuan untuk mendapat keredhaan-Nya bukan sebaliknya menjauhkan kita daripada Allah SWT.
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-AKu-lah kembalimu, lalu Aku kakan mengkhabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-Ankabut : 8)
Ketaatan kepada ibubapa yang boleh menjauhkan si anak daripada agama Allah SWT ialah haram dan berdosa dan hal ini termasuklah seperti mentaati ibubapa dengan mengahwini lelaki yang tidak beragama, memasuki sekolah atau pusat pengajian yang merugikan agama, bekerja dan memasuki bidang yang penuh kemungkaran dan sebagainya hanya atas sebab perintah ibubapa dan demi mengembirakan hati mereka.
Tiada pahala dalam mengembirakan hati ibubapa jika perbuatan tersebut menjauhkan si anak daripada agama dan menjauhkan si anak daripada mengenal dan mendekat diri kepada Allah SWT.

GOPOH DAN TERBURU-BURU

Pepatah Melayu ada menyebut ibarat menarik rambut dalam tepung iaitu melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan dengan penuh berhati-hati dan cermat. Malangnya anak-anak muda kita hari ini yang sudah berkahwin telah gagal menghayati peribahasa berharga nenek moyang tersebut.
Pergaduhan di dalam rumahtangga sudah semestinya merupakan suatu perkara yang lumrah dan bohonglah sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak pernah bergaduh atau berselisih dengan isteri atau pasangannya.
Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sendiri, bahkan para sahabat serta para rasul dan nabi-nabi terdahulu daripada kalangan orang yang mulia dan bertaqwa sahaja pernah mengalami masalah rumahtangga inikan pula kita insan yang biasa.
Hanya yang membezakan di antara mereka dan kita ialah cara atau sikap masing-masing di dalam menghadapi sesuatu pergaduhan dan perselisihan. Majoriti perceraian yang menimpa golongan muda hari ini adalah berpunca daripada sesebuah pergaduhan atau perselisihan yang tercetus di dalam rumahtangga.
Tidak kiralah apa perkara pun yang dipertengkarkan oleh pasangan tersebut baik berkenaan duit gaji, soal jaga anak, isu campur tangan ibubapa, kekurangan yang wujud pada diri isteri atau suami, soal pekerjaan atau kerana berlaku kesilapan dan salah faham akibat komunikasi yang tidak jelas.
Ya, sikap anak-anak muda yang berkahwin hari ini di dalam menangani pergaduhan dan perselisihan rumahtangga adalah sangat teruk dan bermasalah. Mereka gopoh, tidak sabar serta suka bersangka buruk dan membuat pelbagai andaian negatif dan tuduhan melulu tanpa soal selidik atau mengkaji terlebih dahulu punca sesuatu masalah.
Perkara yang lebih menghairankan saya kebanyakan pasangan anak-anak muda hari ini ramai yang sudah memiliki ijazah dan pelbagai sijil profesional sewaktu mendirikan rumahtangga. Sebahagiannya bekerja di syarikat besar sebagai pengurus atau pengendali operasi perniagaan yang penting. Kenapa apabila melibatkan perkara di rumah, pertengkaran di antara suami dan isteri lalu mereka gagal mengawal atau mengendalikan pergaduhan dengan baik dan bijaksana ?
Ke manakah perginya skill atau kemahiran mereka di dalam menguruskan konflik ? Ke manakah hilangnya kepandaian mereka di dalam menyelesaikan masalah atau menguruskan perselisihan ? Jika di pejabat mereka mampu mengatur strategi bijak bagi mengelakkan kerugian syarikat sewaktu ekonomi gawat dan sementara berurusan dengan client (pelanggan) masing-masing di dalam aktiviti perniagaan mereka pandai pula menyelesaikan sebarang konflik, perselisihan atau ketidak puasan hati yang wujud di antara pelanggan mereka lalu kenapakah kemahiran mereka di dalam pekerjaan itu tidak dibawa pulang ke rumah bagi menyelesaikan isu atau menangani sebarang masalah rumahtangga yang timbul ?
Realitinya golongan professional inilah yang paling banyak melanggan bomoh, dukun, pawang serta pelbagai macam lagi pihak-pihak yang tidak sewajarnya bagi menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. Saya dimaklumkan oleh seorang kawan yang memberitahu saya bahawa seorang pegurus besar di sebuah syarikat kosmetik terkemuka kerapkali mendatangi seorang bomoh bagi mendapatkan air ubat dan jampi untuk memulihkan rumahtangganya yang bergolak.
Sesungguhnya perbuatan ini sangatlah ditegah oleh agama dan Islam melarang sebarang usaha ke arah ini. Telah diriwayatkan dari Muawiyah bin Hakam Al-Sulami yang berkata : Aku telah bertanya nabi salallahualaihiwasalam mengenai perbuatan kami pada masa jahiliyyah yang selalu mendatangi dukun dan bomoh bagi meminta nasihat dan menyelesaikan masalah maka bersabdalah nabi salallahualaihiwasalam :
فلا تأتوا الكهّان
Dan janganlah lagi kamu mendatangi dukun (termasuk bomoh).”[3]
Diriwayatkan dari Ummul Mukminin Aisyah ra ketika bertanya kepada baginda tentang perihal bomoh dan dukun yang kadang-kadang apabila memberitahu sesuatu ternyata benar maka baginda salallahualaihiwasalam pun bersabda :
تلك الكلمة من الحق يخطفها الجني فيقرها في أذن وليّه فيخلطون معها مائة كذبة
“ Itu ialah kalimah (khabar) yang benar yang dicuri oleh jin (termasuk syaitan) lalu membisikkannya ke telinga tuannya sambil mencampuri bersamanya seratus pembohongan.” [4]
Sebenarnya orang ramai kerapkali terkeliru dan disesatkan oleh syaitan di dalam kehidupan mereka sehingga mereka gagal melihat dengan pandangan yang lurus dan terang. Banyak masalah yang ditimbulkan sewaktu pertengkaran, pergaduhan dan perselisihan itu boleh dikatakan semuanya akan dapat diselesaikan dan dilenyapkan oleh ketenangan, kesabaran dan perbincangan yang baik serta niat dan kasih sayang yang tulus di antara suami dan isteri.
Menurut Joseph Moses Juran,seorang pakar pengurusan yang mempopularkan sebuah prinsip bernama “Prinsip Pareto” berkaitan penyelesaian masalah telah menyebut bahawa setiap masalah yang menimpa seseorang biasanya berlaku hanya disebabkan oleh 20 peratus masalah yang sebenar atau disebut sebagai masalah pokok yang menjadi punca masalah. Manakala 80 peratus lagi masalah yang timbul kepada kita sebenarnya adalah bukan masalah tetapi kesan daripada masalah pokok yang berjumlah 20 peratus tadi.
Prinsip Pareto yang menekankan konsep 80-20 ini sekalipun digunakan di dalam bidang perniagaan dan pengurusan dapat juga diaplikasikan di dalam kehidupan rumahtangga. Ini disebabkan jika kita mengambil langkah yang berhati-hati dan bersikap tenang sewaktu menghadapi krisis rumahtangga diyakini banyak masalah dapat dielak dan kita akan mampu untuk mengawal pergaduhan tersebut serta memiliki keupayaan untuk memulihkan hubungan yang keruh.
Sewaktu pergaduhan dan pertengkaran rumahtangga, ramai pasangan tidak memiliki kestabilan emosi, kurang berfikiran waras atau tenang dan disebabkan oleh perasaan sedih mereka kerapkali gopoh dan gelojoh untuk membuat kesimpulan atau keputusan. Sebenarnya inilah punca dan penyebab masalah mereka yang sebenar serta menjadi penyebab perceraian dan bukanlah faktor asal pergaduhan tadi baik isu kasih sayang, soal anak, campur tangan keluarga dan sebagainya.
Tapi sebaliknya sikap mereka itu sendiri.
Seorang isteri mengadu kepada saya bahawa suaminya itu gagal memainkan peranan sebagai suami yang baik kerana tidak suka pulang ke rumah dan jarang menghabiskan masa bersama keluarga. Diceritakan bahawa sang suami itu seorang yang suka melepak di rumah kawan-kawannya yang bujang dan gemar menghabisi masa lenggang bersama rakan berbanding dengan isteri dan anak-anak.
Itulah masalah utama yang ditimbulkan oleh si isteri.
Kemudian masalah-masalah lain turut diungkitkan seperti soal nafkah batin, isu jaga anak, suami buat tidak peduli soal makan dan minum keluarga yang tidak mencukupi dan pelbagai lagi.
Si isteri kemudian meminta pendapat saya berkenaan hasratnya untuk meminta cerai daripada suaminya yang disifatkan sebagai suami yang gagal dan mahu mencari lelaki yang lebih baik yang dapat disifatkan sebagai “lebih beragama” untuk menjadi suaminya.
Saya kemudian menegurnya.
Saya mengatakan bahawa isu dan pokok masalah di sini bukanlah kerana “isu agama” atau disebabkan si suami itu seorang yang jahil. Ramai para ustaz dan ustazah muda yang bernikah di al-azhar dan sewaktu belajar dahulu pun turut bercerai dan menderita akibat pergaduhan rumahtangga. Masalah ini bukanlah sebegitu mudah dapat diselesaikan dengan saya pergi berjumpa atau menghubungi sang suami dan menasihatinya soal hukum hakam agama serta mengharapkan dia berubah melayani isterinya dengan baik pada keesokan hari.
Ini persoalan sikap dan masalah yang berlaku di sini sebenarnya lebih berbalik kepada isu kasih sayang yang sudah semakin pudar di antara dua insan. Tanggungjawab dalam rumahtangga jika dapat disamakan dengan kereta maka minyak yang menjadi bahan bakarnya ialah kesedaran dan keinsafan. Kudrat dan tulang empat kerat seseorang akan bergerak memikul tanggungjawab yang diletakkan di atas bahunya apabila dia memiliki kesedaran dan keinsafan akan kewajipan yang perlu dilakukan olehnya.
Orang-orang di barat dan masyarakat Eropah begitu menjaga kebersihan tandas awam dan persekitaran bandar mereka disebabkan mereka memiliki kesedaran dan keinsafan mengenai kepentingan menjaga kebersihan. Ianya tiada kaitan dengan isu agama atau disebabkan kepandaian atau kejahilan seseorang terhadap agama tapi kesedaran.
Agama datang untuk membawa manusia menuju kepada tuhan dan memandu manusia di dalam kehidupan tetapi ianya umpama kenderaan yang digerakkan dan dipandu oleh manusia itu sendiri.
Manusia hanya kembali kepada tuhan dan agama apabila mereka mempunyai kesedaran.
Lalu kesedaran itu datangnya daripada mana ? jawapannya ialah daripada tuhan.
Kesedaran itu ialah hidayah dan kebaikan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia melalui jalan-jalan tertentu seperti pengalaman hidup, pemerhatian dan keinsafan serta berfikir tentang kehidupan.
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran : 190-191)
Berbalik kepada cerita tadi apabila saya menegur wanita yang datang mengadu kepada saya berkenaan perihal masalah suaminya itu maka saya pun menyebut bahawa sikap dan kasih sayang yang pudarlah menjadi faktor pokok kenapa masalah rumahtangga mereka boleh berlaku.
Pada mulanya dia tidak mempercayainya kerana mengatakan bahawa mereka telah berkahwin kerana suka sama suka dan sebelum pernikahan itu mereka telah pun saling mengenali dan bercinta selama dua tahun.
Lantas saya pun membalas, dahulu sewaktu di zaman bercinta memanglah mereka saling kasih mengasihi kerana cinta mereka digerakkan oleh pelbagai aktiviti seperti berdating, saling memberi hadiah, bergayut siang dan malam melalui telefon, ke sana ke mari bersama-sama dan bermacam-macam lagi aktiviti yang dilakukan oleh mereka berdua kerana cinta.
Cinta tidak boleh wujud dengan sendirinya tetapi dijana oleh sesuatu dan digerakkan oleh sesuatu dan sesuatu itu boleh jadi dengan memberi hadiah, dengan mengingati tarikh penting atau menghargai pasangan dengan menghubungi di antara satu sama lain sekerap yang mungkin dan pelbagai lagi aktiviti.
Selepas perkahwinan aktiviti yang boleh menjana cinta dan menjadi bahan bakar kepada cinta tidak lagi dilakukan lalu hal ini akhirnya akan menyebabkan cinta itu menjadi pudar dan masing-masing pasangan akan merasa diri mereka menjadi asing kepada satu sama lain. Kerana itu di waktu ini sang lelaki mahupun perempuan akan lebih suka mengadu masalah masing-masing kepada orang ketiga daripada mengadu kepada pasangan mereka sendiri.
Isteri atau suami sudah tidak lagi menjadi kawan rapat atau teman yang dirujuk setiap waktu kerana masing-masing sudah tersilap langkah apabila menjadikan status wanita sebagai “isteri” dan kedudukan lelaki sebagai “suami” itu sebagai punca perpisahan sedangkan dahulunya hati mereka dan jiwa mereka itu satu.
Sebelum berkahwin baik lelaki dan wanita itu satu hati dan bernafas melalui nafas yang sama tetapi apabila menjelang pernikahan maka masing-masing menganggap bahawa tugasan suami isteri itu akan menyebabkan mereka berbeza dan setiap orang mempunyai kewajipannya. Kalau dahuluya apa sahaja kerja dan tugas si gadis turut dilakukan oleh sang lelaki dan kewajipan lelaki akan dikongsi serta ditunaikan bersama sang gadis.
Setelah berkahwin masing-masing tidak lagi bekerjasama sebaliknya setiap orang terhad menunaikan kewajipannya sahaja dan apabila melihat sang lelaki atau si isteri tidak menunaikan kewajipannya maka dia tidak pula menghulurkan tangan untuk membantu sebaliknya menyalahkan pasangannya itu kerana merasa tidak adil diperlakukan begitu.
Sebelum berkahwin perkataan tidak adil tidak pernah muncul tetapi setelah berkahwin ianya selalu diucapkan oleh pasangan masing-masing apabila merasa pihak yang sebaliknya tidak menyumbang kepada rumahtangga sebanyak dirinya.
Apakah itu rumahtangga ?
Ianya bukanlah sebuah rumah dan bukanlah pula tangga yang membawa kita ke tingkat atas tetapi ianya sebuah kata nama bagi merujuk kepada pasangan lelaki dan wanita yang telah bersatu di bawah ikatan yang sah dan halal.
Yang membezakan di antara suami isteri dan pasangan kekasih yang belum berkahwin hanyalah ikatan nikah yang halal dan sah. Oleh itu jika lelaki dan wanita boleh bercinta dengan penuh syahdu dan asyik sebelum bernikah maka sudah semestinya mereka boleh melakukan hal yang sama setelah mereka bernikah.
Tapi apakah yang menghalang mereka ?
Salah faham orang-orang Melayu akan perihal perkahwinan itu telah menyebabkan mereka tersilap langkah di dalam menyusun kehidupan rumahtangga. Di dalam Islam rumahtangga itu boleh dibina oleh semiskin-miskin manusia sehinggalah kepada sekaya-kaya insan kerana ianya tidak berkait soal harta, soal rumah atau soal tempat tinggal yang mewah.
Ianya melibatkan soal perhubungan lelaki dan wanita yang halal dan diikat melalui ikatan ibadah yang bernama nikah. Apabila seseorang wanita itu bersetuju untuk menjadi kekasih kepada seseorang lelaki maka ibubapanya menyerahkan wanita itu kepada sang lelaki dengan maskahwin yang murah semampu pihak lelaki dan bersamalah mereka menjadi suami isteri atau pasangan kekasih yang halal untuk melakukan apa sahaja di antara keduanya selama dibenarkan oleh syarak.
Begitu mudah Islam ini tetapi sayangnya pada hari ini perkahwinan telah bertukar menjadi sebuah monumen dan patung yang kosong daripada isinya. Dibina dengan tujuan untuk bermegah, berbangga atau menjadi rumah tempat bernaungnya si isteri bersama suami tetapi patung atau monumen itu kosong daripada cinta dan kasih sayang kerana usaha dan aktiviti cinta itu sudah diberhentikan setelah mereka mengikat tali pernikahan.
Pada anggapan mereka, kami telah bernikah maka untuk apa lagi semua itu ?
Telepon siang dan malam, ucapan cinta, kucupan mesra, pegangan tangan, hadiah ketika hari istimewa dan seumpama dengannya sudah tidak menjadi keperluan lagi kerana kini kami sudah bergelar suami dan isteri dan masing-masing telah menjadi milik satu sama lain.
Inilah masalahnya.
Mereka beranggapan bahawa perkahwinan itu dapat menjadi penjamin cinta mereka dan menganggap jika sudah menikah dan berhubungan badan maka apa lagi yang ditakutkan kerana si dia sudah menjadi milikku yang sah dan halal.
Itulah yang salahnya.

[1] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
[2] Hadis Riwayat al-Bukhari no. 5649 dan Muslim no. 2629
[3] Hadis Sahih, riwayat Muslim dalam Kitab Minhaj Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi Jilid 14, no 5774, Ahmad Jilid 7, no. 24166
[4] Hadis Sahih disepakati oleh Bukhari no. 5762 dan Muslim no 2228

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)