Sunday, April 8, 2012

TALAK: PERKARA HALAL YANG PALING DIBENCI ALLAH



Olahan:  Marzulina Omar, JAKIM
Majalah Sinar Rohani, November 2003


Pembentukan keluarga yang berjaya ialah yang mampu mengikat
perasaan suami isteri dengan ikatan yang saling mengerti antara satu sama lain.
Ikatan yang melahirkan suasana bahagia dengan hiasan cahaya mata yang
menjadikan kehidupan rumah tangga aman sejahtera dan bahagia.

Kebahagiaan rumah tangga bergantung kepada kedamaian.  Tanpa
kedamaian, kehidupan berumah tangga tiada ertinya.  Malah ia akan menjadi
suatu gelanggang permusuhan dan pergaduhan di antara suami dan isteri.  Bila
perkara ini berlaku sudah tentu sebuah rumah tangga tersebut terdedah kepada
kehancuran.  Maka bagi mewujudkan kedamaian rumah tangga, tanggungjawab
adalah kunci yang paling utama di mana tanggungjawab tersebut bukan sahaja
terbatas sekadar menyediakan tempat tinggal dan memenuhi segala tuntutan
fizikal seperti pakaian, makan minum, kenderaan dan sebagainya.  Malah
tanggungjawab yang lebih khusus dan lebih utama ialah memberi kasih sayang,
menjaga hati dan perasaan pasangan. Oleh itu Islam mengadakan undang-
undang yang lengkap bermula daripada seseorang itu merancang hendak
berkahwin hinggalah ke peringkat perceraian sekiranya hubungan suami isteri itu
tidak dapat diperbaiki lagi.

Perkahwinan dan Perceraian

Perkahwinan :

Perkahwinan merupakan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan
perempuan untuk hidup bersama sepanjang hayat.  Tujuan berumah tangga
ialah untuk “mencari ketenangan dan kedamaian di dalam hidup”  :  (ar-Rum
ayat 21

 
1)  Memandangkan perkahwinan dan pembentukan keluarga ini sangat penting
maka perkahwinan tidak boleh dianggap sebagai suatu perkara yang mudah dan
ringan kerana kewajipan yang dipertanggungjawabkan adalah sangat besar.
Oleh itu setiap pasangan yang hendak berkahwin terutama yang masih muda
hendaklah disedarkan apakah dia sudah layak untuk berumah tangga atau
mampu untuk berkahwin?  Sudahkah bersedia dengan ilmu pengetahuan?
Sekurang-kurangnya sekadar yang patut diketahui oleh bakal seorang suami
atau isteri, kewajipan menjadi seorang suami contohnya, hukum hakam yang
berkaitan dengan soal suami isteri dan tatasusila hidup berkeluarga.

  Kedamaian hidup berumah tangga mestilah diatur sejak di awal
perkenalan iaitu mesti diselidiki latar belakang pasangan di peringkat pemilihan
pasangan lagi.  Sekiranya pihak lelaki  atau wanita mengikut kriteria yang
dianjurkan oleh Islam, insyaAllah akan ada kerukunan dalam perkahwinan.
Selain itu pasangan yang ingin berkahwin juga hendaklah memahami dengan
sebenarnya apakah tujuan di sebalik sesuatu perkahwinan tersebut.  Andainya
perkahwinan itu sekadar memenuhi tuntutan nafsu dan melayan kehendak tanpa
memikirkan tujuan yang sebenarnya, maka perkahwinan tersebut akan lebih
terdedah kepada kehancuran.  Justeru, bagi menjamin keharmonian, sesebuah
keluarga Islam mestilah mempunyai kekuatan iman dan taqwa, pengetahuan
dan tatacara hidup serta akhlak yang mulia.

Perceraian/ talak :

Cerai atau disebut juga sebagai talak  mempunyai dua pengertian, dari segi
bahasa bermaksud melepaskan ikatan, manakala dari segi syarak ialah
melepaskan ikatan pernikahan dengan lafaz tertentu.  Islam memberikan kuasa
talak kepada pihak suami manakala pihak isteri juga boleh menuntut perceraian
dalam bentuk-bentuk lain sama ada secara  khuluk (tebus talak),  fasakh dan
taklik melalui saluran Mahkamah Syariah.  Ada tiga jenis talak yang perlu
diketahui oleh setiap pasangan suami isteri.

i)  Talak Soreh iaitu talak yang jelas dan nyata.  Contohnya suami telah
berkata:  Aku jatuhkan kamu dengan talak satu; atau seumpamanya.

ii)  Talak Kinayah, iaitu talak yang memerlukan kepada niat di mana ada
kalanya lafaz yang diucapkan itu berbeza-beza tetapi niatnya memang
hendak menceraikan isterinya.  Contohnya suami berkata kepada
isterinya:   Engkau tidak boleh aku gunakan lagi;  atau kata-kata yang
seumpamanya.
 iii)  Talak Taklik iaitu talak yang bergantung  kepada sesuatu perkara atau
perbuatan.  Contohnya suami berkata:  Jika engkau keluar dari rumah ini,
engkau aku talakkan dengan talak satu.  Ia juga boleh berlaku apabila
suami berkata:  Kalau aku kahwin lagi satu, engkau aku talak.

Sebagaimana cerai yang menunjukkan keterbukaan Islam dalam menyelesaikan
konflik rumah tangga begitulah juga Islam bersikap terbuka dalam
menyelamatkan sesebuah rumah tangga di mana telah disyariatkan adanya
tempoh  iddah yang antaranya bertujuan untuk menilai kembali kesilapan,
menimbulkan penyesalan kerana keterlanjuran bertindak dan membolehkan
pasangan suami isteri menyambung ikatan kasih sayang mereka sebagaimana
sebelumnya melalui rujuk.  Firman Allah SWT yang bermaksud:   Talak (yang
boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu bolehlah ia (rujuk dan)
dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau
dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik. (al-Baqarah:  229)

Faktor perceraian

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.  Sebenarnya ramai
pasangan suami isteri tidak mencapai tujuan perkahwinan yang sebenarnya
dalam erti kata tidak ada kebahagiaan rumah tangga.  Pelbagai bentuk konflik
dihadapi dalam ikatan perkahwinan mereka di mana konflik yang dilalui ini
andainya tidak dapat diatasi pasti memaksa sesuatu pasangan terbabit mencari
jalan muktamad iaitu bercerai yang memansuhkan ikatan perkahwinan.
Berdasarkan aduan yang diterima oleh Unit Perunding dan Pembangunan
Keluarga di beberapa Jabatan Agama Islam di negara ini, terdapat beberapa
faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian seperti:

i)  Salah seorang pasangan atau kedua-duanya meneruskan kebiasaan
tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan.
Bertindak bersendirian tanpa mengambil kira kesan kepada pasangan atau
perkahwinan.  Membiarkan pasangan membuat tindakan secara sendirian.

ii)  Penguasaan kefahaman terhadap agama berhubung dengan kehidupan
suami isteri kurang atau keluar daripada tuntutan Islam sebenar (kesan
kepada nilai dan personaliti).

iii)  Pengurusan ekonomi rumah tangga tidak diuruskan mengikut konsep
kehidupan berumah tangga Islam iaitu berkongsi, bertolak ansur dan
mengutamakan yang utama.

iv)  Pengurusan cara hidup keluar dari kawalan sosial dan syariat Islam seperti
minum arak, judi, menyalahgunakan dadah, berzina dan sebagainya.
 v)  Pengurusan hubungan dan komunikasi dengan pasangan dan keluarga
tidak lancar seperti mengutamakan  diri atau keluarga sendiri lebih
daripada pasangan atau keluarga  pasangan.  Tidak mengambil berat
terhadap kesihatan, kebajikan pendidikan dan keperluan emosi ahli
keluarga.

vi)  Menghadapi masalah peribadi yang tidak dapat dikongsi bersama
pasangan, mempunyai personaliti  mendekat menjauh atau menjauh
menjauh seperti pemarah (emosional), cemburu buta, mendera dan
mementingkan perasaan sendiri.

vii)  Salah seorang pasangan menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit
yang menghalang berlaku hubungan jenis dalam jangka masa yang terlalu
lama, mempunyai nafsu seks yang terlalu tinggi atau lemah.

viii)  Gagal mengimbangi tumpuan perhatian serta masa kepada pasangan dan
rumah tangga, lebih mementingkan kerjaya atau lain-lain kegiatan luar
rumah.  Tidak dapat memahami budaya kerja pasangan.

ix)  Pasangan tidak dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan
(kawan-kawan), persekitaran dan  keluarga dalam membentuk atau
mencorak kehidupan suami isteri.

Bentuk-bentuk konflik

Terdapat tiga bentuk konflik yang biasa dihadapi oleh pasangan iaitu:

i)  Nusyuz – dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan.  Dapat
dikesan melalui komunikasi pasangan seperti muka kelihatan masam,
wajah selamba atau tidak mahu bertentangan masa.  Bercakap dengan
kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau
berkomunikasi melalui perantaraan.   Tidak menghiraukan pasangan,
mengelak  istimta’ dan bersetubuh.  Tidak berlaku adil dalam poligami
sedangkan pasangan yang seorang lagi adalah orang yang berakhlak baik
dalam pergaulan dengan pasangannya.   Bersikap atau tingkahlaku yang
membawa nusyuz kepada pasangannya.

ii)  Syiqaq – Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap
saling cerca-mencerca serta pukul memukul.

iii)  Dharar – Penganiayaan suami kepada isteri sedangkan isteri adalah
wanita yang baik akhlaknya

 Cara menangani konflik rumah tangga:

i)  Mengelak keadaan yang boleh menimbulkan konflik sebagai langkah
mencegah berlakunya konflik.

ii)  Mengadakan proses menyelesaikan masalah mengikut punca, bentuk dan
tahap konflik yang dihadapi oleh pasangan.

Menghindari konflik:

Walaupun perceraian adalah suatu perbuatan yang diharuskan oleh syarak,
namun menghindarinya punca berlakunya  perceraian (konflik) adalah langkah
yang paling bijak antaranya ialah:

i)  Mengesan perubahan di peringkat awal dengan memerhatikan air muka,
gerak geri dan percakapan.

ii)  Elakkan dari bersangka buruk terhadap pasangan.

iii)  Apabila menyedari terdapat isu-isu atau masalah yang berpotensi untuk
mengeruhkan hubungan suami isteri segera tanganinya tanpa menyimpan
sehingga menjadi banyak masalah  dan melewat-lewatkan tindakan
sehingga keadaan menjadi bertambah parah.

iv)  Apabila menyedari kelemahan atau kesilapan pasangan, bantu pasangan
untuk membuat perubahan atau baiki kesilapan.  Berikan motivasi.

v)  Apabila berhadapan dengan sesuatu  isu atau masalah, pasangan perlu
menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik pasangan atau
menyerang pasangan.  Buatlah perbincangan dengan sikap tolak ansur.

vi)  Dalam pergaulan, pasangan hendaklah menyelaraskan kehendaknya yang
inginkan rumah tangga bahagia dan harmoni serta bertimbang rasa dan
bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan terhadap dirinya.
Tidak cepat melenting dan sentiasa meminta maaf bila menyedari
kesalahan sendiri.  Tunjukkan kasih mesra yang ikhlas dengan mencari
kekuatan dalam hubungan suami isteri.

vii)  Tidak mendapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang tidak
mempunyai kepakaran atau tidak menyukai diri suami atau isteri.

viii)  Amalkan teknik komunikasi berkesan dalam pergaulan suami isteri.

 
Prosedur Perceraian

Adalah disyorkan bahawa sebaik-baiknya perceraian itu hanya menjadi pilihan
terakhir jika semua cara penyelesaian  lain menemui jalan buntu.  Manakala
perceraian itu pula hendaklah dilakukan dengan makruf di mana perceraian itu
tidak sepatutnya digunakan untuk menjatuhkan martabat isteri.  Islam telah
menetapkan peraturan perceraian dengan begitu halus dan teliti agar tidak ada
mana-mana pihak yang teraniaya di  mana setiap negeri di Malaysia
menggunakan enakmen atau akta undang-undang keluarga Islam masing-
masing.  Contohnya dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor
47;

(1)  Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah
menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah
dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan satu akuan mengandungi
butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-
anak, jika ada, hasil daripada perkahwinan itu;

i)  Butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidangkuasa
kepada Mahkamah di bawah Seksyen 45;

ii)  Butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal
ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat
prosiding itu;

iii)  Suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;

iv)  Suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan jika ada, apakah
langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;

v)  Syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat
kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada,
peruntukan bagi pemeliharaan  dan penjagaan anak-anak dari
perkahwinan itu, jika ada, dan  pembahagian apa-apa aset yang
diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, jika
tiada sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan
pemohon mengenai hal-hal itu; dan

vi)  Butir-butir mengenai perintah yang diminta.

(2)  Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, Mahkamah
hendaklah membuat satu saman untuk diserahkan kepada pihak yang
satu lagi itu bersama dengan satu salinan permohonan itu dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah
mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk
membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu
bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.

(3)  Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan
Mahkamah berpuashati selepas penyiasatan yang wajar bahawa
perkahwinan itu telah pecahbelah dengan tidak dapat dipulihkan maka
Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq
di hadapan Mahkamah.

(4)  Mahkamah hendaklah merekodkan hal  satu talaq itu, dan hendaklah
menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang
berkenaan dan kepada Ketua Pendaftara untuk didaftarkan.

(5)  Jika  pihak yang satu lagi itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau
jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah
bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah
dengan seberapa segera yang boleh melantik suatu jawatankuasa
pendamai terdiri daripada seorang pegawai Agama sebagai pengerusi dan
dua orang lain, seorang untuk seorang  lagi bagi isteri, dan merujuknya
kepada jawatankuasa itu.

(6)  Pada melantik dua orang itu di bawah seksyen kecil (5), Mahkamah
hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib
pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(7)  Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada jawatankuasa pendamai
dan ia hendaklah menjalankannya.

(8)  Jika jawatankuasa itu tidak bersetuju atau jika Mahkamah tidak
berpuashati tentang cara ia menjalankan perdamaian, Mahkamah boleh
memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa lain
menggantikannya.

(9)  Jawatankuasa itu hendaklah berusaha mencapai perdamaian dalam
tempoh enam bulan dari tarikh ia dibentuk atau dalam tempoh yang lebih
lama tidak sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.

(10)  Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak terbabit hadir dan
hendaklah memberi tiap-tiap seorang dari mereka peluang untuk didengar
dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkan patut dan boleh, jika ia
fikirkan perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa.
 (11)  Jika jawatankuasa pendamai itu tidak dapat mencapai perdamaian dan
tidak dapat memujuk pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai
suami isteri, jawatankuasa itu hendaklah mengeluarkan suatu perakuan
tentang hal yang sedemikian itu dan boleh melampirkan pada perakuan
itu apa-apa syor yang difikirkannya patut berkenaan dengan nafkah dan
penjagaan anak-anak belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan hal-hal
lain berhubung dengan perkahwinan itu.

(12)  Tiada seseorang peguambela dan peguamcara boleh hadir atau
bertindakan bagi mana-mana pihak dalam sesuatu prosiding di hadapan
sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada sesuatu pihak prosiding di
hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada sesuatu pihak boleh
diwakili oleh sesiapa jua, selain daripada seorang ahli keluarganya yang
karib, tanpa kebenaran jawatankuasa pendamai itu.

(13)  Jika jawatankuasa itu melaporkan kepada Mahkamah bahawa perdamaian
telah tercapai dan pihak-pihak itu  telah hidup semula bersama sebagai
suami isteri, Mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian
itu.

(14)  Jika jawatankuasa mengemukakan kepada Mahkamah suatu perakuan
bahawa ia tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk
pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri,
Mahkamah hendaklah menasihatkan suami yang berkenaan itu
melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah, dan jika Mahkamah tidak
dapat mendapatkan suami itu hadir di hadapan Mahkamah untuk
melafazkan satu talaq, atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq,
maka Mahkamah hendaklah merujuk kes itu kepada Hakam untuk
tindakan menurut seksyen 48.  (15) Kehendak seksyen-kecil (5) tentang
rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak dipakai dalam
sesuatu kes di mana pemohon mengatakan bahawa ia telah ditinggal
langsung oleh pihak yang satu lagi  dan tidak tahu di mana pihak yang
satu lagi itu berada;

i)  Di mana pihak yang satu lagi itu bermastautin di luar Malaysia
Barat dan ianya tidak mungkin masuk ke dalam bidangkuasa
Mahkamah yang berkenaan itu dalam masa enam bulan selepas
tarikh permohonan itu;

ii)  Di mana pihak yang satu lagi itu sedang di penjara selama tempoh
tiga tahun atau lebih;
 iii)  Di mana pihak pemohon mengatakan bahawa pihak yang satu lagi
itu sedang mengidap penyakit otak yang tak boleh sembuh; dan

iv)  Di mana Mahkamah berpuas hati bahawa ada hal keadaan yang
luarbiasa yang menyebabkan rujukan kepada suatu jawatankuasa
pendamai tidak praktik.

(15)  Kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen kecil.

(16)  Sesuatu talaq yang dilafazkan oleh  suami atau sesuatu perintah yang
dibuat oleh Mahkamah tidak boleh berkuatkuasa sehingga tamat tempoh
‘iddah.

(17)  Jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah
itu dibuat, talaq atau perintah itu  tidak boleh berkuatkuasa sehingga
berakhir kehamilan itu.

Oleh itu jika prosedur perkahwinan  mesti didaftarkan maka perceraian
juga mestilah melalui saluran mahkamah serta didaftarkan.  Kegagalan berbuat
demikian membolehkan pasangan dikenakan penalti oleh mahkamah.  Semua ini
bertujuan untuk memelihara pasangan agar tidak mempermudahkan talaq selain
memudahkan isteri menuntut hak-hak selepas perceraian atau membuat isteri
apabila ingin berkahwin lain apabila tamatnya tempoh iddah.

Hukum perceraian melalui sistem pesanan ringkas (SMS)

Perceraian merupakan kata-kata yang senang dilafazkan oleh  sesiapa jua pun.
Janji manis di alam percintaan sehingga membawa ke alam rumah tangga
kenikmatannya dirasai sekejap sahaja.  Telah banyak kedengaran pada hari ini
pada suami mempermainkan perkataan talaq atau cerai kepada isterinya
disebabkan kejahilannya dalam pengetahuan tersebut (tidak memahami hukum
agama).  Manakala di pihak isteri pula tidak kurang juga yang lantang menuntut
cerai daripada suami tanpa memikirkan akibat yang akan menimpa dirinya atau
anak-anaknya.  Sedangkan menuntut cerai kepada suami tanpa ada sebab yang
harus di sisi syarak adalah haram sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW
yang bersabda:  “Wanita manapun yang menuntut cerai kepada suaminya tanpa
ada sebab yang syari’i maka haram baginya bau syurga” (Abu Daud dan Ibnu
Majah).  Malah baginda menegaskan  lagi dalam hadisnya yang lain yang
maksudnya:  “Perbuatan halal yang sangat-sangat dimurkai Allah ialah talak
(perceraian).”  Manakala Allah SWT pula ada berfirman yang maksudnya:  “Dan
bergaullah dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik.  Kemudian
jika kamu (merasai) benci (disebabkan  tingkah lakunya) janganlah pula kamu
terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak
untuk kamu.”  (an-Nisa’:  19)

  Sesungguhnya persoalan-persoalan baru mengenai perkembangan moden
yang ada kaitannya dengan hukum munakahat Islam memerlukan ijtihad
semasa.  Samalah jua dengan senario  cerai melalui SMS baru-baru ini yang
menimbulkan polemik yang pelbagai di  kalangan masyarakat.  Isu ini menjadi
lebih hangat apabila pihak media turut memberi tumpuan terutama apabila
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang mengesahkan dan mensabitkan
perceraian pasangan suami isteri Shamsuddin Latif dan Azida Fazlina Abdul Latif
yang dikirimkan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).  Ekoran daripada itu
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam
kali ke 55 yang bersidang pada 27  Julai 2003 telah membuat penelitian
mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian melalui SMS
sebagaimana berikut:

i)  Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan
kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mail dan
sebagainya merupakan talak berbentuk kinayah dan adalah sah sekiranya
disertai dengan niat.

ii)  Semua perceraian perlu dikemukakan ke Mahkamah Syariah untuk
mensabitkan talak tersebut.

iii)  Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden
adalah perceraian yang tidak menepati adab perceraian  yang digariskan
oleh syarak.

Kesimpulan

Sesungguhnya dalam menjalani kehidupan berumah tangga sesiapapun tidak
dapat lari daripada kemungkinan menghadapi ujian atau konflik.  Tetapi
pasangan yang sering kali menghadapi konflik dalam rumah tangga
menunjukkan bahawa kemungkinan mereka tidak pernah memikirkan secara
serius berhubung dengan perkembangan dan kehidupan normatif yang berlaku
dalam rumah tangga mereka sedangkan penilaian dalam kehidupan berumah
tangga perlu selalu dilakukan.   Persoalan-persoalan seperti:  “Adakah pasangan
saya berpuas hati dengan keadaan perjalanan rumah tangga saya sekarang ini?”
harus sentiasa dipersoalkan.  Kehambaran dalam perkahwinan akan mula dirasai
apabila pertelingkahan sering timbul akibat daripada tidak seriusnya individu
untuk berbincang rasa tidak puas hati di antara satu sama lain.

  Hakikatnya  kecekapan suami dan kebijaksanaan isteri amat diperlukan di
mana dalam setiap perkahwinan perlu mempunyai matlamat di mana seorang suami atau isteri wajib menambah dan mendalami ilmu mengenai kekeluargaan
di samping berusaha menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh
amanah demi memelihara keteguhan rumah tangganya di mana bagi seorang
suami yang menjadi ketua keluarga  hendaklah lebih berhati-hati dalam
menggauli isteri mereka kerana wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki
yang bengkok, maknanya jika dibiarkan sikap isteri yang tidak elok, maka sikap
itu akan kekal selama-lamanya.  Lantaran itu dalam memberi nasihat kepada
isteri, hendaklah secara psikologi dan  lemah lembut sehingga yang bengkok
akan lurus.  Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok
itu akan mudah patah.  Dengan lain perkataan jika lemah seorang pemimpin itu
maka lemahlah struktur kepimpinannya.  Rasulullah pernah bersabda yang
maksudnya:   “Awas! Kamu semua adalah  pemimpin, bertanggungjawab
terhadap rakyatnya.  Ketua negara  adalah pemimpin, bertanggungjawab
terhadap rakyatnya.  Lelaki adalah pemimpin keluarganya, isteri adalah
pemimpin di dalam rumah suaminya, bertanggungjawab terhadap suami dan
anaknya.  Dan hamba adalah pengurus harta tuannya, bertanggungjawab
terhadap rakyat di bawah pimpinannya masing-masing.”

  Kempen yang dijalankan oleh kerajaan dalam mengukuhkan lagi institusi
kekeluargaan  ‘Utamakan Keluarga:  Semakin Hari Semakin Sayang’ seharusnya
disambut di mana kedua belah pihak mestilah sensitif dalam mengekalkan
kerukunan rumah tangga, lebih banyak bersabar dalam menelan pahit maung
kehidupan, membesarkan anak-anak dan dalam menghadapi kerenah pasangan
yang tidak menyenangkan.  Mereka mestilah pandai mengambil hati antara satu
sama lain supaya tidak wujud ketegangan yang memungkinkan perceraian
kerana perceraian merupakan satu padah yang amat malang bagi sesebuah
rumah tangga.  Akibat daripada perceraian bukan sahaja melibatkan pasangan
suami isteri, tetapi melibatkan anak-anak dan hubungan antara keluarga.


1 comment:

  1. as'salam ...

    saya ingin bertanya, kenapa cerai itu halal dan allah membenci-Nya. adakah perkara ini berkaitan dengan kehidupan di alam akhirat ..?

    terima kasih

    ReplyDelete