Wednesday, November 9, 2011

Cerai di Malaysia Setiap 15 minit menurut JAKIM 2009


Amat mengejutkan apabila kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit.  Begitulah kalau berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.
Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.
“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul: Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di Putrajaya, semalam.
Seramai 1,200 penjawat awam hadir pada seminar itu dengan anggota panelnya terdiri daripada pakar motivasi Datuk Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah Datuk Fatma Zahrah Mohd Ramadan.
Mashitah berkata Jakim akan memperbanyakkan lagi program-program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.
Setakat ini, Jakim telah menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga, katanya.
Dalam perkembangan lain, Mashitah berkata Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ”Sidang Parlimen Roh” selepas kematian pengasasnya Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lepas.
“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment