Suami Isteri Sah Bercerai Talak Satu

Admin
0

KUCHING: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mengesahkan sepasang suami isteri sah bercerai dengan talak satu.Hakim Syarie Sua’ibon Shamsuddin Abu Bakar membuat keputusan itu setelah suami mengaku ada melafazkan cerai di luar mahkamah di hadapan isterinya.

Sebelum ini, isterinya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dilafazkan oleh suaminya di luar mahkamah.

Si isteri yang hanya dikenali sebagai Ziza, 30-an, berasal dari Tabuan Jaya, Kuching memfailkan permohonan tersebut tanpa diwakili peguam syarie.

Ziza memberitahu kepada mahkamah bahawa suaminya melafazkan cerai tersebut sebanyak tiga kali.

Lafaz pertama dibuat pada pertengahan tahun pada 2006 yang berbunyi: “Aku ceraikan kau dengan talak satu.”

Untuk lafaz kedua pula dilafazkan pada 2007 di mana suaminya menyatakan kepadanya dengan kata-kata: “Kalau macam ya kita dua pisah jak, kau bawa haluan kau pun, aku bawa haluan aku pun.”

Lafaz ketiga diucapkan oleh suaminya pada penghujung 2009 iaitu dengan kata-kata: “Kau kemas barang kau pergi ke rumah orang tua kau, aku si larat agik nak jaga kau.”

Manakala menurut suami, Man, dalam lingkungan usia 30-an, memberitahu kepada mahkamah bahawa dia mengaku ada melafazkan ketiga-tiga lafaz tersebut.

“Saya mengaku ada melafazkan ketiga-tiga lafaz itu tetapi saya tidak begitu pasti dengan tarikhnya.

“Saya sebenarnya tidak ada niat untuk menceraikan isteri saya dan hanya bertujuan untuk menenangkan keadaan rumah tangga kami yang semakin keruh,” katanya.

Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak Hakim Syarie mengesahkan dan mensabitkan Man dan isterinya sah bercerai dengan talak satu pada pertengahan 2006 berdasarkan lafaz soreh (lafaz cerai dengan menyebut talak berapa… satu, dua atau tiga) yang dibuat oleh Man pada tarikh tersebut.

Bagi lafaz kedua dan ketiga, Hakim Syarie tidak mensabitkan jatuh talak ke atas mereka ekoran lafaz tersebut tidak disertakan niat.

Kedua-dua pihk bukan suami isteri yang sah lagi kerana mereka disahkan bercerai mengikut lafaz pertama yang dibuat pada pertengahan 2006 itu di mana edah isterinya sudah pun tamat.

Sepanjang perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata.



Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)