Salam.
Terima kasih atas nasihat positive dan negative yang diterima. Ya, benar silap aku termakan pujuk "untuk lepaskan hukum agama" hingga aku sanggup bersetuju nikah di sempadan. Aku sebenarnya masih bingung dengan kehidupanku. Zack rapat dengan seorang Bapak yang katanya dari kedutaan dan sekarang Zack sering keluar masuk Indonesia/Siam. Sejak bapa mertua dari isteri pertamanya meninggal, makin rancak dia berasmara dan memburu wanita-wanita muda. Zack hanya menggunakan wang tunai untuk sebarang transaksi, termasuk shopping supaya tak dapat dihidu kerjanya tu. Lebih menyakitkan apabila aku mendapat tahu Zack menggunakan passport original Indonesia (yang dia tidak boleh gunakan untuk keluar masuk negara) tetapi untuk check in di hotel-hotel di Malaysia dan ke Genting untuk berjudi. Dari apa yang aku dapat tau Zack masih 'main daun' dan juga sekali sekala hisap ganja. Aku ingatkan dia dah tak berjudi lagi, dah tak hisap ganja (sebab dia derma darah beberapa bulan sekali). Tapi rupanya sama saja.
Motor 2nd hand Singapura dibeli pun menambahkan kerisauan apabila bekas kekasihnya Farah yang tinggal di Singapura menelefon untuk meminjam wang darinya dan hal ini Zack sendiri yang memberitahuku. Aku pening hubungannya bersama Bapak yang sering bersamanya dari lewat malam hingga subuh setiap hari tu. Selain dari 'kerja', untuk bersuka ria dan lepak di kedai-kedai makan. Kedai makan jugalah yang Zack sering "angkut" perempuan dengan kata-kata manis! Zack pernah teguk minuman keras depan mataku. Wallahua'lam sekiranya dia masih minum hingga sekarang dibelakangku. Aku sebagai isteri masih mendiamkan diri. Aku tak guna langsung duit yang diberi. Duit hasil dari 'membela' pegawai-pegawai kerajaan membeli kuota pekerja dan menjual pada orang luar serta kerja-kerja penyeludupan barang-barang itu juga yang diberi untuk suap isteri dan anak-anaknya. Tapi aku tak nak tu semua jadi darah daging aku. Dosakah aku setelah menegur beberapa kali kemudian mendiamkan diri membiarkan dia setiap hari memakai rantai emas, gelang tangan emas, cincin emas? Dosakah aku mahu meminta cerai sedangkan dia masih pulang dan masih memberi nafkah yang sepatutnya dalam rumahtangga..?
Nota: Hidup tertekan? Stress? Tak tahu nak luahkan pada siapa? Anda ada masalah dan gangguan emosi? Luahkan ke kisahrumahtangga@gmail.com. Kami akan siarkan di KRT dan dapatkan pandangan dari pembaca. Identiti anda akan dirahsiakan.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Masalah #115 yang asal: http://www.facebook.com/note.php?note_id=436007669510
Aku telah menikahi Zack selama setahun di sempadan Malaysia. Ini disebabkan Zack telah mempunyai isteri yang dikatakan tidak menjaga badan, panas baran, banyak merokok dan banyak menggunakan wangnya. Zack memujukku bahawa nikah itu adalah untuk melepaskan hukum supaya kami tidak berzina. Zack juga hendak memastikan dia masih mempunyaiku setelah diceraikan isteri pertamanya.
Zack banyak memberi sebab hukum agama apabila melakukan sesuatu yang membuatku terfikir dialah calon suami terbaik untuk ku serahkan mahkota dan harga diriku memandangkan sekarang ramai lelaki yang hanya suka 'bersama' tanpa nikah.
Aku tinggal di Utara tanah air, Zack bekerja sendiri di KL dan hanya pulang ke rumah kami 1 atau 2 hari dalam seminggu. Aku terima keadaan ini disebabkan Zack juga terpaksa pulang ke rumah isteri pertamanya di Pantai Timur . Aku banyak menyuruh Zack memperbaiki rumah-tangganya bersama isteri pertama. Dan pernah ku suruh Zack belikan isteri pertamanya barang kemas apabila Zack membelikanku supaya adil. Setelah 6 bulan kami nikah, barulah aku mendapat tahu Zack masih pulang ke rumah teman wanita mudanya di KL, Anna, yang telah dijalin hubungan sejak 4 tahun lepas. Syak ku terbukti benar kerana aku dapat berhubung terus dan diakui oleh Anna.
Anna pernah menelefonku semasa dia bersama Zack. Aku kenal sangat dengan suara dan cara percakapan suamiku walaupun Zack enggan berbicara bersamaku apabila Anna serahkan handphonenya pada Zack. Aku yakin Zack juga menyayanginya kerana disewakan rumah dan dibelikan kereta. Tetapi Anna tidak mahu menikahi Zack di sempadan dan lebih rela menjadi perempuan simpanannya.
Aku juga telah mendapat bukti gambar dan video Zack membawa isteri orang yang mempunyai 3 orang anak ke dalam bilik di rumah sewanya di Selatan tanah air. Walaupun Zack hampir setiap 2 bulan menukar sim kad nya, amat mudah untukku kesan perbuatan suami. Meronta jiwa apabila mengetahui 'teman tidur' Zack adalah dari kalangan pekerja-pekerja muda imigresen (yang banyak bantu dalam kerja-kerja Zack). Zack telah berjanji setelah nikah, pernikahan itu akan dimaklumkan pada jabatan agama dan dibayar kompaun. Tapi sehingga hari ini Zack tidak melakukannya. Hidupku untuk menjadi pasangan biasa suami isteri seperti menunggu bulan jatuh ke riba dan aku tak sanggup rasanya bersuamikan lelaki yang meniduri ramai wanita.
Tapi Zack tidak mahu melepaskan ku dan sampai akhir hayat takkan akui dia telah 'bersama' dengan wanita-wanita yang kusebut nama mereka walaupun dengan bukti kukuh ditanganku. Bukti pernikahan kami disimpan Zack dan sekarang tak tahu apa yang harus ku buat. Tapi yang pasti, aku mahu dilepaskan. Apakah cara terbaik untukku sekarang? Haruskah aku melaporkan tanpa bukti pernikahan?? Aku mahu Zack hanya bertanggungjawab pada isteri pertamanya dan 7 anak mereka bersama.