Dah setahun suami bersayang-sayang dgn perempuan lain

Admin
0

Salam buat pembaca Kisah Rumah Tangga.... Saya pernah menulis akan masalah saya di ruangan ini.Kini, telah hampir setahun lebih setelah rahsia perhubungan suami dan perempuan itu terbongkar, saya sudah dapat menerima hakikat bahawa perkara tersebut tetap telah terjadi dan walau hati saya marah dan kecewa tiada gunanya saya meratapi lagi. Saya dan suami masih tinggal bersama dan kami menjalani hidup seperti biasa bersama kedua-dua anak kami.

Cuma, perasaan saya terhadap suami telah semakin tawar dan dari hari ke hari perasaan sayang semakin hilang. Saya masih mentaati suami, saya tidak keluar rumah sesuka hati, masih menjaga maruahnya sebagai suami, masih berlakon sebagai pasangan yang bahagia jika berhadapan dengan keluarga masing-masing, dan juga tidak bergaduh di hadapan anak-anak. Saya juga tidak lagi menangis di hadapan anak-anak.

Jika saya sedih, saya akan menutup muka dan menyapu air mata seolah-olah mata saya dimasuki habuk. Suami juga berlagak seolah-olah dia tidak pernah melukakan hati saya, dan apabila diajak berbincang dia akan mengelak dan lebih teruk lagi dia akan mengamuk dan memukul saya. Puan-puan, hati saya sudah lama remuk, telah lama hancur dan berkecai. Bagaimana lagi mahu meneruskan hubungan yang tiada komunikasi dan persefahaman, hanya saya yang beria-ria berusaha memulihkan hubungan kami, mengharapkan suami berubah namun suami tidak mahu diajak berbincang, tidak mahu mengaku akan perbuatannya dan kerap melukakan hati saya.

Lama saya berfikir akan kesudahan hubungan kami yang hanya nampak indah di mata umum namun di dalam hati kami masing-masing sudah tiada cinta lagi.... Sehinggakan saya terpaksa membuat suatu keputusan yang berat demi tidak mahu dianggap tamakkan kasih sayangnya, saya menyatakan kepada suami, seandainya dia ingin mencari cinta yang lain, saya relakan, pergilah kepada sesiapa sahaja wanita yang dia cintai, yang dia suka, jika di dalam hatinya saya sudah tidak bernilai lagi. Cuma dia perlu berjanji tidak akan melupakan tanggungjawab terhadap anak-anak. Tentang perasaan dan hati saya, biarlah masa yang menentukan, selama saya boleh bertahan.

Terima kasih saya ucapkan kepada tuan dan puan yang memberi nasihat dan pandangan...hari ini saya sedar, saya perlu meneruskan kehidupan bersama-sama suami demi anak-anak. Saya tidak mahu mementingkan diri sendiri. Jika penceraian hanya akan mengakibatkan anak-anak saya terabai, biarlah saya mengambil keputusan untuk terus hidup bersama-sama suami biarpun hati menderita. Jika dia ingin mencari cinta yang baru, pergilah..saya tak berdaya lagi untuk menghalang...jika dihalang pun, hatinya bukan untuk saya lagi...

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)