Thursday, November 10, 2011

Keinginan seks wanita tinggi pada awal hubungan dan hilang punca hubungan bermasalah

Keinginan seks wanita tinggi pada awal hubungan dan hilang jika hubungan bermasalah

ISU hubungan seks sangat jarang dibincangkan, apatah lagi jika membabitkan masalah disfungsi seks wanita (FSD). Namun, masalah hubungan seks yang dianggap isu `tertutup' menjadi punca kedua utama perceraian di kalangan penduduk Islam di Malaysia selepas konflik kewangan.

Jika masalah disfungsi seks lelaki (MSD) dikaitkan dengan masalah ketidakupayaan ereksi (disfungsi erektil atau mati pucuk), wanita menghadapi masalah disfungsi seksual membabitkan hampir 70 peratus wanita di Malaysia — dua kali lebih tinggi berbanding wanita di Amerika Syarikat.

Namun, perkara ini jarang dibincangkan secara terbuka kerana dianggap memalukan, walaupun ramai wanita menderita kerananya.

Jika anda antara wanita yang mulai hilang keinginan terhadap seks dan sukar berasa ghairah, jangan risau kerana ramai berkongsi masalah dengan anda.Sebenarnya lebih ramai wanita berusia 18 hingga 59 tahun mengalami masalah FSD iaitu 43 peratus berbanding hanya 31 peratus di kalangan lelaki.

Menurut Ahli Terapi Seks dan Kaunselor Perhubungan Australia, Dr Rosie King, antara punca utama menyebabkan masalah FDS ialah kekurangan pendidikan seks, harapan tidak realistik (dipengaruhi cerita dalam filem, novel, internet atau majalah), risau mengenai prestasi ketika melakukan seks, masalah kesihatan, hubungan kurang mesra dengan suami dan paling penting, suami ada masalah ED.

"Penurunan keinginan seks adalah normal bagi wanita, terutama selepas lama menjalin hubungan atau perkahwinan. Kajian mendapati keinginan seks wanita paling tinggi pada awal hubungan dan boleh hilang sama sekali jika hubungan atau perkahwinan mereka bermasalah.

"Masalah ini juga disumbangkan oleh suami kerana apabila perkahwinan menjadi stabil, suami kurang berusaha untuk menarik hati isteri — tidak seperti ketika awal hubungan. Keinginan seks wanita sangat berbeza dengan lelaki kerana lelaki boleh dirangsang dengan mudah melalui mata (penglihatan) dan telinga (pendengaran) ," katanya ketika membentangkan soal selidik global ke arah seks lebih baik (GBSS) anjuran Pfizer.

Sememangnya isu masalah seks wanita sangat jarang dibincangkan dan mungkin ada yang tidak tahu apa yang dikatakan FSD. Seseorang wanita itu dikategorikan mengalami FSD jika dia:

• Hilang keinginan seksual.
• Hubungan seks tidak lagi menyeronokkan.
• Keghairahan menurun.
• Kurang pelincir pada vagina.
• Sakit apabila mengadakan hubungan seks.
• Sukar mencapai orgasme.

Kajian GBSS ke atas 12,563 responden (6,285 lelaki dan 6,273 wanita) berumur 25 hingga 74 tahun di 27 negara, termasuk Malaysia, mendapati 50 peratus lelaki dan wanita tidak mendapat kepuasan dalam hubungan seks mereka. Di Malaysia, hanya 35 peratus lelaki dan 49 peratus wanita yang benar-benar berpuas hati dengan hubungan seks mereka.

Dr King berkata, kadar masalah FSD di kalangan wanita Malaysia lebih tinggi iaitu 70 peratus berbanding wanita Amerika Syarikat. Bahkan peratusan wanita negara ini yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan seks seperti kekurangan nafsu, keghairahan dan kenikmatan hubungan intim juga lebih tinggi berbanding wanita Amerika Syarikat (rujuk Jadual 1).

Bahkan umur suami yang tua (melebihi 42 tahun) juga dikenal pasti menjadi antara faktor risiko penurunan keinginan seksual wanita kerana kebanyakan masalah ED bermula selepas lelaki memasuki usia 40-an.

Menurutnya, suami boleh membantu meningkatkan keinginan seks isteri.Banyak cara boleh dilakukan kerana secara umumnya wanita memerlukan `perangsang' seperti sentuhan romantik, komunikasi, keintiman dan masa berkualiti bersama pasangan.

Pada masa sama, wanita perlu berusaha meningkatkan keinginan seksual dengan melakukan `perangsang' seperti disebut di atas, memperbaiki kesihatan keseluruhan (menjaga pemakanan, bersenam dan mendapat cukup tidur serta rehat), kurangkan keresahan serta menanam sikap positif terhadap seks. Selain itu, mereka perlu belajar memperbaiki kualiti hubungan seks, di samping memupuk hubungan lebih mesra dengan suami.

Kurang keghairahan

Kekurangan keghairahan di kalangan lelaki hanya disebabkan satu perkara iaitu ED, tetapi bagi wanita ia berpunca daripada pelbagai perkara, termasuk berasa tidak seronok ketika mengadakan hubungan seks, tidak ghairah, kesakitan (akibat vagina kering, terutama di kalangan wanita berumur) dan sukar mencapai orgasme.

Wanita memerlukan masa untuk ghairah iaitu antara 15 hingga 20 minit atau lebih lama bagi wanita berusia. Beberapa proses perlu dilalui sebelum wanita mencapai keghairahan iaitu rangsangan erotik pada otak,tumpuan fikiran, deria, memberi dan menerima rangsangan, fantasi dan perasaan terhadap pasangan.

Untuk ghairah, wanita memerlukan persekitaran selesa, gembira, tenang, `privacy' dan masa secukupnya. Ini sebabnya suami perlu faham keperluan wanita supaya sama-sama dapat menikmati hubungan seks berkualiti dan memuaskan.

"Apabila wanita ghairah, beberapa perubahan biologi berlaku, iaitufaraj memanjang dua kali ganda dan pintu faraj menjadi lebih rapat.Dinding faraj pula menjadi lebih licin yang menandakan wanita bersedia menjalani persetubuhan. Dalam keadaan ini, wanita lebih mudah mencapai orgasme.

"Kesakitan ketika hubungan seks adalah masalah biasa yang dialami hampir 68 peratus wanita Malaysia. Ia boleh disebabkan kekurangan rangsangan seksual, jangkitan, keradangan atau menopause dan mudah diatasi dengan menggunakan bahan pelincir. Namun, jika masalah ini berlanjutan, wanita disaran mendapatkan nasihat doktor," katanya.

Bukan semua wanita mengalami orgasme setiap kali mengadakan hubungan seks. Hanya 30 peratus wanita mencapai orgasme (kemuncak seks) melalui hubungan seks (kemasukan zakar ke dalam faraj) dan 40 peratus wanita mengalami orgasme walaupun tiada kemasukan zakar, manakala 30 peratus lagi tidak pernah merasai orgasme langsung.

Untuk mencapai kemuncak ini, wanita memerlukan rangsangan berterusan,fokus pada pengalaman erotik dan menegangkan otot.

"Masalah ED dialami lelaki juga menjadi faktor penting kepada gejala kekurangan keinginan seksual wanita. Kajian mendapati wanita yang mengalami FSD kurang gembira berbanding wanita normal dan 41 peratus menganggap mereka menjadi punca kepada masalah ED suami.

"Wanita yang mempunyai suami ED juga mengalami masalah lain seperti ketegangan, berasa tidak menarik, bersalah, sunyi, resah dan hilang keinginan melakukan hubungan intim. Wanita yang ada suami ED lebih berisiko mengalami FSD dan ini sebabnya suami perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin. Ia bukan saja demi isteri, bahkan ED juga menjadi petanda penting kepada masalah kesihatan kronik seperti jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis," katanya.

Pada masa sama, setiap individu perlu memainkan fungsi masing-masing untuk memperbaiki hubungan suami isteri kerana hanya melalui kemesraan hubungan seks dapat dinikmati dengan lebih baik. Seks boleh diumpamakan seperti gam dan pelincir bagi mengeratkan hubungan dua insan dan melancarkan keintiman seksual suami isteri.

No comments:

Post a Comment