. Mengapa ramai suami kalau dengan isteri, garangnya macam jembalang tanah tetapi bila dengan girlfriend, dia jadi lembik macam agar-agar?

Admin
0

DCCK, Mingguan Malaysia 20 April 2008

KEPERITAN hidup yang dihadapi oleh Mazimah seperti yang tersiar dalam DCCK 30 Mac lalu berjudulPoligami manisnya 1 masalahnya 9 membuat Puan Aini terpanggil untuk memberikan pendapatnya di samping menasihati beliau bangkit memperbaiki hidupnya dan jangan takut bertindak.

Dalam e-melnya, Aini berkata, dia rasa sakit hati apabila membaca kisah hidup Mazimah. Mengapa ramai suami kalau dengan isteri, garangnya macam jembalang tanah tetapi bila dengan girlfriend, dia jadi lembik macam agar-agar.

”Pada pandangan saya ada baiknya Mazimah biarkan saja suaminya kahwin dengan gadis tersebut yang ternyata begitu ego sebab dapat rampas hak orang lain. Mudah-mudahan dia bertemu buku dengan ruas. Biar dia pula makan penampar. Saya percaya Mazimah bekerja, tinggalkan saja suami seperti itu biar dia jaga anak-anak, biar dia tahu susah senangnya.

”Sebenarnya kalau tak baca DCCK setiap minggu saya rasa hidup tak lengkap. Walaupun kadang-kadang saya rasa geram, darah naik mendadak ke kepala, tapi ada masanya menitiskan air mata bila bersua cerita yang mengusik jiwa. Syabas kepada penulis, kerana berjaya mencungkil banyak kisah yang boleh dijadikan teladan.

”Saya tak tahulah kenapa zaman serba canggih sekarang terdapat ramai orang makan orang, khasnya kaum lelaki. Agaknya kalau tak makan air mata anak isteri, mereka akan pendek umur. Kadang-kadang tu saya rasa tak percaya masih ada lelaki berperangai lebih teruk dari binatang. Kalau memukul isteri pun kita benci inikan pula memukul sampai mencederakan anak-anak seperti anak Mazimah. Saya rasa ayah macam ini patut direbus hidup-hidup.

”Saya rasa terkilan ada wanita yang sabar tak kena tempat. Memang kita mesti taat pada suami tapi saya tak dapat bayangkan apa perasaan dia bila melihat anak dipukul teruk. Mungkin dia ada alasan, tapi alangkah malangnya mendapat suami sejahil ini! Kenapa tidak sekali sekala buat seperti orang hilang akal belasah dia pula.

”Sebenarnya saya faham perasaan Mazimah, kerana saya pun bersuamikan lelaki panas baran. Mula-mula dulu saya diam juga sebab takut berdosa melawan suami, tapi bila dia cuba nak naik tangan, saya kata pada dia kalau saya rasa sakit dia pun akan sakit juga. Kita tengok siapa yang mati dulu. Kerana tak dapat pukul saya, dia baling dan pecahkan piring cawan, atau apa saja barang dalam rumah bila dia mengamuk.

”Bila suruh ganti benda yang dipecahkan dia tumbuk dinding. Saya tak kisah, rumah saya dinding batu, bukan papan. Tumbuklah sehari suntuk, saya peduli apa. Bila dah reda dia tunjukkan tangannya pada saya. Nak tau apa saya jawab? Saya kata KL ni hutan batu, why not bila marah you tumbuklah setiap bangunan depan you, untung-untung tangan patah, terseliuh, boleh claiminsurans dan duitnya bagi saya.

”Sebagai isteri, sekali-sekala kita kena tunjuk taring. Kalau takut dosa sebab melawan suami, perpisahan adalah jalan terbaik. Sayangi diri sendiri dan anak-anak sebelum sayang orang yang tak takut pada balasan Allah. Orang jenis ini akan sedar bila badan tak boleh bergerak dan mata terbuntang atas katil,” nasihat Aini.

Minggu ini dipaparkan pandangan Rosariena dalam e-melnya tentang pengalaman hidupnya semasa kecil hingga remaja terseksa berayah tiri. Inilah nasib kaum wanita, kalau dipoligami hidup terseksa, diceraikan pun menderita, sebaiknya selepas bercerai tak usahlah kahwin lagi, sebab yang terseksa bukan setakat diri sendiri tetapi anak-anak yang berayah tiri.

”Saya bercakap dari pengalaman sendiri dan hati saya tersentuh untuk paparkan pengalaman pahit setelah membaca kisah Mazimah yang begitu berkesan di hati. Tetapi kisah saya lebih derita kerana saya tiga beradik tinggal dengan ayah tiri yang garang. Perbuatannya memukul kami hingga kini masih terpahat di kepala kami.

”Emak berkahwin dengan ayah pada usia 21 tahun. Empat tahun berkahwin, lahirlah kakak, saya dan seorang adik lelaki. Pada usia adik lapan bulan, emak dan ayah bercerai disebabkan tidak tahan dengan perangai ayah yang ‘kaki perempuan’ dan suka mencuri barang kemas emak untuk dihadiahkan kepada teman-teman wanitanya.

”Segala perbelanjaan hidup dalam rumah tangga menjadi tanggungan emak. Nasib baik juga emak bergaji tetap sebagai seorang anggota pasukan beruniform. Walaupun susah, kami masih boleh makan dan dapat pakai, gaji ayah cuma untuk dirinya sendiri dan aktiviti luar yang kaum wanita semua tahu kalau suami dah jadi kaki perempuan.

”Selepas emak diceraikan, emak kahwin lagi dengan anggota sepasukannya. Pada usia 7 tahun, saya terpaksa memahami keadaan, saya ada ayah baru yang pada hemat saya ketika itu, dia tidak mahu terima kami sebagai anak tirinya.

”Kalau tidak, masakan kami dikatakan jadi bebannya. Sedangkan dia sebenarnya jadi beban kepada emak. Emak bukan setakat tanggung perbelanjaan rumah tangga sama seperti keadaan ayah kami dulu, tetapi juga rokoknya. Semua emak mesti sediakan.

”Dalam usia sebegitu muda, kami tiga-beradik sentiasa jadi mangsa sepak terajang dek panas barannya. Pernah satu ketika kerana marahkan emak, kerana tidak mendapat apa yang dimahunya, dia sepak pinggan nasi ketika kami makan tengah hari.

”Tiap kali dia mengamuk kami tiga beradik ketakutan, pasti emak jadi mangsa tangannya, dan kalau kami bising atau menangis, kami turut jadi mangsa sepak terajangnya. Kerana ketakutan dan hidup tidak selesa kami bertiga pernah terfikir lari dari rumah. Tetapi kerana tidak tahu ke mana arah hendak dituju, kami batalkan niat.

”Keganasan yang paling ketara pernah dilakukannya apabila dia pukul adik lelaki saya sehingga patah tangan. Ketika itu kami sudah dapat merasakan kami tidak selamat lagi di rumah itu. Bila-bila masa saja saya boleh jadi mangsa. Sampai satu tahap, bila begitu takut sebab dia mengamuk, saya pernah berdoa supaya Allah segera cabut nyawanya supaya kami tidak didera lagi.

”Penderaan mental dan fizikal berterusan dan hanya berakhir apabila saya menjejakkan kaki ke universiti. Syukur kehadrat Allah yang mengurniakan saya adik-beradik otak yang pintar. Semasa kami di universiti, kami jarang pulang rumah. Malas. Menyakitkan hati, menyampah, benci.

”Cuba pembaca bayangkan, perasaan benci kami kepada ayah tiri menjadi-jadi sebab dah besar panjang, masih kena pukul. Emak tak boleh bersuara. Kerana takut dan sayangkan suami agaknya.

”Emak pernah buat laporan polis bila tangan adik patah, tetapi tarik balik sebab takut ayah tiri kena buang kerja. Kerana tak tahan kena pukul, kami mengadu pada guru sekolah dan guru kaunseling. Akhirnya kami dapat sekolah berasrama, dapatlah belajar dengan tenang. Tapi masalahnya bila cuti kena balik rumah. Kena pukul juga setiap kali dia mengamuk.

”Adik pula kerana sering ke rumah kawan baiknya, akhirnya, ayah kawannya ambil dia jadi anak angkat dengan tujuan adik boleh tinggal di rumah mereka, dan dia boleh bantu perbelanjaan sekolah adik. Emak tak larang kerana takut adik kena pukul teruk.

”Saya tidak salahkan emak. Malah saya amat berterima kasih sebab bersusah payah bekerja kerana kami. Selain bekerja makan gaji, emak juga berniaga secara kecil-kecilan untuk menyediakan keperluan kami.

”Mana ayah kandung kami? Tak usah ditanya. Sudah lama saya buang ayah dalam fikiran dan hati. Seperti mana dia buang kami tiga beradik sebaik sahaja dia ceraikan ibu. Selepas bercerai dia tidak ambil tahu makan minum, pelajaran dan hidup kami.

”Saya sayangkan emak. Cuma saya terkilan kerana emak semacam tidak faham penderitaan kami. Saya tahu emak pun menderita. Tetapi semua penderitaan dipendam dan disimpan dalam hatinya. Alasannya dia takut kena cerai lagi, dan emak takut orang mengumpat dan mengata kerana perkahwinan keduanya pun gagal.

”Paling mengecewakan bila saya tanya emak, kenapa selepas bercerai dulu emak kahwin lagi. Jawapan emak supaya kami ada ayah dan merasa kasih sayang ayah. Kami beritahu emak, kami tak perlukan ayah, kami mahu emak saja.

”Perlukah kami ayah kalau untuk menyakitkan badan dan perasaan? Menyakitkan emosi dan fizikal kami. Kami lagi suka kalau tidak ada ayah. Saat-saat paling bahagia dalam hidup kami ketika kecil dahulu apabila ayah tiri tidak ada di rumah. Senang cerita, kalau dia tidak wujud dalam hidup kami. Itulah perasaan kami tiga beradik.

”Hukumlah kami andai kami derhaka kerana tidak sukakan ayah tiri, tetapi itulah perasaan kami. Tiada siapa tahu. Tetapi siapa yang menyebabkan kami begini?

”Kadang-kala saya terfikir, kenapa ayah tiri kami bersikap melampau? Sebabnya emak tidak tegas. Kalau tegas, saya rasa ayah tak berani pijak kepala emak. Buktinya, kini dia tidak berani tengking kami. Sebabnya mudah. Kami tidak ‘beri muka’ kepadanya terutama setelah kami bekerja.

”Bukan nak menunjuk-nunjuk atau besar kepala apabila sudah berjawatan, tetapi cukuplah bertahun-tahun kami diherdik, dicaci dan dimaki. Sekarang emak hanya akan diherdik apabila kami tiada di rumah. Saya tidak faham kenapa emak biarkan dirinya terus menderita, sanggup diperlakukan seperti ‘sampah’. Takut kami hilang ayah?

”Kami lagi suka kalau dia tidak ada, kami harap emak sedar. Emak tak sepatutnya takut tidak cukup duit belanja. Saya rasa emak akan lebih mewah kalau suaminya tiada. Sekarang pun emak yang bayar segala hutang piutangnya. Kerana sayangkan suami, perlukah sayang orang yang tidak pernah menghargai kita? Bahagiakah emak selama lebih 20 tahun menyayangi suami dan mengabdikan diri kepadanya?

”Ikhlas, saya tidak pernah nampak riak-riak bahagia pada wajah emak. Saya rasa, kalau emak berani melaporkan kes penderaan kami kepada pihak berkuasa, ayah pasti tidak berani mendera kami dan kami pasti tidak akan terseksa jiwa dan raga. Dan yang pastinya tahap kebencian kami terhadap ayah tiri tidak separah ini.

”Sayang sekali, emak yang tidak mahu membebaskan dirinya dari beban ini. Kerana faktor ini jugalah suaminya sentiasa memperbodoh dan menghambakan emak. Saya percaya setiap manusia mempunyai maruah dan harga diri yang sangat perlu dipertahankan. Jangan sampai maruah kita diinjak-injak sesuka hati hatta oleh suami.

”Bukan maksud untuk menderhaka. Tetapi setiap perkara perlulah berbatas. Allah beri kita akal untuk berfikir buruk dan baik. Dan Islam menghalalkan perceraian andai kita terseksa dengan perkahwinan itu. Jadi jangan takutkan perceraian hanya kerana takut dipandang serong oleh masyarakat.

”Perlukah lagi dipertahankan perkahwinan yang menyeksakan diri dan anak-anak? Kenapa kita sentiasa jadi mangsa? Sebab kita yang memilih dan merelakan diri kita dijadikan mangsa! Tepuk dada tanya iman,” demikian cerita Rosariena yang sedih dengan nasib ibunya dan mengapa dia terlalu bencikan ayah tiri yang kejam.

Seperti kata Rosariena, setiap orang boleh membentuk diri dan masa depannya. Kalau mahu, jangan salahkan orang, sebaliknya carilah kelemahan diri dan cuba baiki. Kini ayah tirinya masih membebankan emaknya, dengan perangai menjengkelkan. Sikap ini membuatkan anak menjauhi ibunya.

Kalau sudah sampai ke peringkat ini salahkah anak jika jarang pulang kampung menjenguk emaknya? Malah lebih senang ke rumah mertua. Sebagai emak kita patut juga fikirkan nasib anak-anak kerana bukan semua anak perlukan ayah tiri yang menjadi kebenciannya. Oleh itu jika ada ibu beri alasan enggan bercerai kerana takut anak-anak tidak berayah, atau kahwin lagi supaya anak ada ayah, sebenarnya si ibu takut jadi ibu tunggal. Sebenarnya anak-anak zaman ini lebih memahami masalah ibu bapa mereka.

- MAIMUNAH

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)