Tidak semua perkahwinan berakhir dengan kebahagiaan. Ada Mahligai Kasih yang baru dibina runtuh di tengah jalan. Sementelah inai masih merah di jari sudah terlerai hubungan suami isteri.

Rencana ini menyorot peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memberikan perkhidmatan khususnya kepada
isteri untuk mendapatkan hak nafkah terutama apabila berlaku perceraian. Ini adalah bahagian pertama daripada tiga siri.

PUTRAJAYA - Nurain dan Umar (bukan nama sebenar) menjalin hubungan cinta semasa belajar di universiti. Tamat pengajian, pasangan muda ini dengan restu keluarga mendirikan rumah tangga.

Seperti kebanyakan pengantin baru, mereka bahagia pada awal perkahwinan meskipun kadang kala terpaksa berpisah atas nama tugas. Panas bagaimanapun tidak sampai ke petang. Impian untuk sehidup semati bagaimanapun tidak kesampaian untuk pasangan ini. Selepas hanya tiga tahun hidup sebagai suami isteri, ikatan perkahwinan akhirnya terlerai.

Umar sudah berkahwin lain sedangkan Nurain masih merawat hati yang luka tambahan jodoh yang singkat itu tidak mengurniakannya cahaya mata. Nasib yang sama juga menimpa Tiara (bukan nama sebenar). Perkahwinan yang juga dibina atas dasar cinta sama cinta tidak dapat bertahan seperti yang diimpikan.

Menjadi ibu tunggal pada usia muda bagaimanapun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk membesarkan dua cahaya matanya. Hatta hidup perlu diteruskan demi masa depan anak-anaknya.

Berlainan pula bagi Mawar (bukan nama sebenar). Penjawat awam ini sudah berumah tangga serta mempunyai beberapa anak tetapi suaminya berubah kasih dan bercinta dengan isteri orang. Pasangan ini akhirnya bercerai dan suaminya berkahwin lain bukan dengan isteri orang tersebut tetapi dengan wanita lain!


SEMAKIN RAPUH

Institusi perkahwinan semakin rapuh! Mungkin inilah tanggapan yang boleh diandaikan berdasarkan senario yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Ikatan perkahwinan semakin mudah terlerai. Lafaz cerai semudah anak-anak kecil belajar A, B, C. Sehinggakan ada suami yang menggunakan kecanggihan teknologi dengan hanya menghantar teks cerai menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)!

Bagaimanapun, perceraian sebenarnya bukan berpunca daripada satu faktor tetapi melibatkan banyak faktor. Ini diakui Dr Mohd Na'im Mokhtar, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 10 tahun (1998-2008) sebagai hakim mahkamah syariah berkata, berdasarkan statistik, 44.9 peratus kes perceraian berpunca daripada pasangan yang gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Faktor lain yang menyumbang kepada perceraian ialah kurang didikan agama, gaya hidup sosial, masalah komunikasi, sikap pasangan serta masalah kesihatan dan seks. Perceraian juga berlaku kerana pasangan meneruskan kebiasaan tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan.

"Ada juga perkahwinan yang tidak kekal kerana ketidakmampuan menguruskan ekonomi rumah tangga. Ada yang masih terikut-ikut dengan zaman mereka masih bujang, boros berbelanja dan apabila sudah ada tanggungjawab tidak boleh menguruskan kewangan. Perceraian juga berlaku kerana suami atau isteri mementingkan kerjaya atau
kegiatan luar rumah," jelas Dr Nai'im.


TEMPOH KRITIKAL

Hakikatnya perceraian terutama pada usia muda perkahwinan seperti yang berlaku kepada Nurain, Umar dan Tiara semakin kerap berlaku. Menurut Dr Na'm, tempoh lima tahun pertama perkahwinan adalah tempoh genting untuk kedua-dua pihak suami dan isteri memahami dan menyesuaikan diri.

"Biasa yang saya tengok selepas lima tahun jika mereka boleh sesuai, insya-Allah perkahwinan itu boleh bertahan. Sebab itu kalau kita tengok statistik banyak perceraian berlaku pada lima tahun pertama perkahwinan," kata beliau.

Dr Na'im juga tidak berapa bersetuju jika ada yang menyalahkan kursus pra-perkahwinan yang tidak mantap sebagai punca perceraian. Menurut beliau, silibus kursus pra-perkahwinan sudah cukup untuk memberikan asas untuk satu-satu pasangan mendirikan rumah tangga. Pasangan yang menghadiri kursus berkenaan antaranya diberi bimbingan mengenai tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Mereka juga dibimbing cara berkomunikasi, cara terbaik mengendalikan masalah rumah tangga serta cara menguruskan wang dengan bijak.



FAKTOR NIAT

Dr Naim bagaimanapun menegaskan, mereka yang menghadiri kursus pra-perkahwinan perlu mempunyai niat yang betul apabila menghadiri kursus itu. Apakah dia hadir setakat untuk dapat sijil? Untuk dapat lesen untuk berkahwin?

"Sepatutnya mereka yang menghadiri kursus ini menghayati silibus kursus dan mempraktikkan selepas akad nikah dijalankan. Kita tak mahu ingat masa kursus sahaja, habis sahaja akad semua yang diajar diabai dan dilupakan. Jadi ini semua berbalik kepada niat pasangan tadi ketika menyertai kursus pra-perkahwinan," kata Dr Na'im yang pernah menjadi hakim mahkamah syariah
selama kira-kira 10 tahun.



PERLU RANCANG

Pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga juga perlu mempunyai matlamat mengapa mereka mahu berkahwin dan membina rumah tangga. Mereka juga mesti berazam bukan sahaja untuk memperbaiki diri sendiri tetapi juga pasangan yang dikahwini serta anak yang bakal dilahirkan. Katanya, amat penting untuk pasangan yang ingin berkahwin merancang hala tuju perkahwinan mereka. Mendirikan rumah tangga atau mahligai kasih memerlukan perancangan seperti juga jika mahu mewujudkan syarikat yang mempunyai reputasi baik.

"Sebagai contohnya, kita perlu mencari rakan kongsi yang baik yang kita boleh percayai untuk bekerjasama. Perkahwinan juga macam satu syarikat. Kena cari pasangan yang terbaik untuk
sama-sama membina rumah tangga. Nabi juga ajar kita macam mana mahu mencari pasangan hidup," kata Dr Na'im.

Beliau menambah alam rumah tangga seperti perjalanan perniagaan juga tidak terlepas daripada berdepan dengan pelbagai cabaran. Dalam masa yang sama, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga juga perlu mempunyai visi dan misi yang sama. Faktor ini penting, jelasnya, kerana jika timbul masalah pasangan tersebut dengan komunikasi yang baik, boleh berbincang dan menyelesaikan masalah secara bersama.



ADUAN GANTUNG

Kita lazim mendengar rungutan wanita yang mendakwa mereka dianiayai suami dan dibiarkan "gantung tak bertali." Dalam hal ini, Dr Na'im berkata, beberapa senario bagaimana boleh timbul isu
'gantung tak bertali' dan beliau turut berpandangan istilah ini kadang kala disalah gunakan.

Menurut beliau ada isteri yang tidak mendapat nafkah daripada suami dan ada isteri yang enggan menuntut nafkah kerana takut diceraikan. Jelasnya, Seksyen 60 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri memberikan hak kepada isteri menuntut nafkah bukan sahaja selepas perceraian tetapi juga semasa perkahwinan.

"Isteri takut diceraikan. Jadi dia berada dalam dilema. Suami memang tak bayar nafkah dan dalam masa yang sama undang-undang memberikannya hak kepada dia di bawah Seksyen 60 tadi untuk menuntut nafkah di mahkamah syariah semasa perkahwinan lagi. Status mereka masih suami isteri. Suami mungkin sudah lama meninggalkan isteri tetapi belum bercerai. Nak pergi ke mahkamah takut diceraikan. Tapi persoalannya kenapa dia gantung diri sendiri?

"Suami dia mungkin sudah gantung dia tapi isu sekarang siapa gantung siapa? Adakah undang-undang menghalang dia? Undang-undang tak menghalang dia kerana dia boleh memfailkan tuntutan di mahkamah di bawah Seksyen 60 yang saya sebutkan tadi. Jadi, kalau undang-undang tak menghalang dia, maknanya sekarang siapa gantung siapa?" soal Dr Na'im.


PERLU BERTINDAK

Isteri perlu berani bertindak. Isteri perlu ke mahkamah dan mengemukakan kesnya kepada hakim. Ini nasihat Dr Na'im kepada wanita yang merasa diri mereka dianiayai suami. Beliau turut mengaitkan isu "gantung tak bertali" dengan kes isteri yang teruk didera oleh suami tapi masih juga mahu meneruskan perkahwinan.

"Atas dasar apa? Dia kata kalau tuntut cerai dia takut tak dapat masuk syurga sebab ada yang kata kalau isteri minta cerai isteri tak boleh bau syurga, tak boleh masuk syurga. Sekarang persoalannya hukum benarkan atau tidak? Hukum benarkan. Yang tidak dibenarkan ialah kalau suami tak ada masalah dan isteri sengaja atau suka-suka nak minta cerai.

"Tapi dalam keadaan didera, adakah Islam begitu zalim sampai menjadikan isteri tadi menjadi seorang hamba yang duduk dalam kehidupan yang penuh penderitaan sedangkan dalam Al-Quran ada menyebut Allah menjadikan perkahwinan itu untuk mendapatkan sakinah (ketenangan) dan mawaddah (kasih sayang)," jelas Dr Na'im.


KESAN KEPADA ANAK

Masih mengenai isu isteri didera suami. Dr Na'im menyifatkan isteri yang tidak bertindak menuntut haknya meskipun didera dengan teruk oleh suami boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak. Beliau berpandangan anak lelaki yang dibesarkan dalam rumah tangga yang demikian berkemungkinan akan turut terkesan dari segi psikologi.

"Bila dia berkahwin dia boleh buat yang sama kepada isterinya kerana dia nampak ayah mendera ibunya dan dia nampak benda ini sebagai satu keadaan yang biasa," katanya.

Justeru beliau menasihatkan isteri yang menjadi mangsa dera suami supaya menggunakan hak yang telah dibenarkan oleh undang-undang dan hukum.

"Bila mana kezaliman itu berlaku maka isteri kena bangkit untuk memastikan kezaliman itu dapat dihapuskan dengan cara dia mengemukakan permohonan di mahkamah. Mengapa perlu bimbang diceraikan? Mungkin dia akan mendapat kehidupan yang lebih baik," tambah Dr Na'im.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa supaya mengambil serius isu penderaan isteri oleh suami. Katanya, Nabi Muhammad S.A.W. sendiri ada menyebut bahawa barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya.

"Kalau dia ada kuasa ubahlah dengan menggunakan kuasa yang ada," tambahnya.


BERI PERTOLONGAN

Dr Na'im turut meminta peguam syarie yang mengendalikan kes perceraian supaya lebih bertimbang rasa dalam meletakkan jumlah bayaran untuk anak guamnya. Menurut beliau, ada isteri yang melalui proses perceraian terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengambil peguam.

"Katakanlah kes cerai ini berlarutan selama dua tahun, kalau dia ambil peguam syarie mungkin besar belanja yang dikeluarkan. Bayaran guaman ini bergantung, sebab tidak ada bayaran yang tetap, di mahkamah syariah belum lagi ada Akta Guaman Syarie berbanding mahkamah sivil ada Legal Profession Act 1976. Terpulang kepada peguam untuk meletakkan bayaran guamannya. Kita boleh katakan isteri bergantung kepada belas kasihan peguam syarie," kata Dr Na'im.

Sehubungan itu, beliau ingin mengajak peguam-peguam syarie supaya menyedari akan tanggungjawab sosial yang perlu ditanggung oleh Peguam Syarie membezakan diri mereka dengan peguam sivil.

"Apa tanggungjawab kita kepada masyarakat? Apa tanggungjawab kita untuk membantu masyarakat? Nabi ada bersabda barang siapa yang melepaskan kesusahan, kedukaan mana-mana saudara dia, Allah akan lepaskan dia di akhirat. Memanglah tidak ada benda yang percuma tetapi berpada-padalah," kata Dr Na'im. - Bernama