Masalah rumah tangga

Admin
0

KEHIDUPAN dua insan dalam ikatan perkahwinan merupakan suatu bentuk kehidupan yang unik. Kedua-dua individu terpaksa saling bertolak ansur, mengenali kelemahan dan kekuatan diri agar keseimbangan perkahwinan dan keharmonian rumah tangga dapat dicapai. Tidak ketinggalan, terdapat pasangan yang terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam perkahwinan untuk terus menjadi pasangan bahagia.

Pelbagai bentuk konflik dihadapi dalam ikatan perkahwinan. Konflik yang dilalui andainya tidak dapat diatasi pasti memaksa pasangan mencari jalan muktamad iaitu melalui perceraian yang memansuhkan ikatan perkahwinan. Masalah dalam perkahwinan bukanlah suatu fenomena baru. Cuma di zaman serba maju hari ini, perceraian bukan lagi suatu yang memalukan tetapi digambarkan sebagai suatu jalan terbaik agar emosi individu tidak terus menerus berada dalam keadaan yang menekan. Manakala emosi anak-anak dapat dikawal agar tidak terus menghadapi gangguan.

Tidak terdapat suatu gambaran khusus yang boleh dikatakan bahawa sebuah rumah tangga itu berada dalam keadaan aman dan bahagia. Setiap perkahwinan pasti menghadapi pelbagai masalah tipikal seperti masalah tidak jelasnya pembahagian tugas di rumah dan penggunaan wang apabila kedua-dua pasangan bekerja, masalah saudara mara, komunikasi, seks, pendidikan anak-anak, rekreasi, hubungan dengan rakan-rakan dan sebagainya.

Kajian-kajian yang dilakukan di barat mendapati bahawa pasangan yang bahagia dan tidak bahagia, tidak akan terlepas daripada menghadapi pelbagai masalah dalam meneruskan kehidupan berumahtangga.

Walau bagaimanapun, pasangan yang dikatakan tidak bahagia menghadapi lebih banyak masalah dalam kadar yang lebih kerap dan serius berbanding dengan pasangan bahagia.

Rencana psikologi kali ini akan membicarakan beberapa masalah asas yang mungkin berlaku di tahap awal perkahwinan. Kajian telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1990 oleh Storaasli dan Markaun ke atas 131 pasangan berkulit putih. Masalah-masalah yang dihadapi dalam tempoh perkahwinan dinilai melalui suatu alat kajian dinamakan sebagai masalah perhubungan perkahwinan yang menyenaraikan sepuluh lingkungan masalah iaitu masalah berhubung dengan wang, komunikasi, saudara mara, seks, agama, rekreasi, sahabat, penggunaan dadah dan alkohol, penjagaan anak-anak dan perasaan cemburu. Pasangan diminta untuk menilai lingkungan masalah dirasai dan apa yang sedang mereka lalui dalam hubungan perkahwinan.

Hasil daripada kajian didapati pasangan yang berada di tahap awal perkahwinan (satu hingga tiga tahun) kebanyakannya menghadapi masalah-masalah seperti digambarkan dalam rajah I di bawah:

Rajah 1

Pemeringkatan Masalah-Masalah Yang Dihadapi Peratusan
1.Kewangan 85
2.Komunikasi 43
3.Sanak-Saudara 30
4.Seks 21
5.Kawan-Kawan 20
6.Anak-Anak 18
7.Agama 15
8.Rasa Cemburu 13
9.Penggunaan Alkohol dan Dadah 10
10.Rekreasi 5
11.Lain-Lain 28


Rajah 1 dan 2 memperlihatkan beberapa masalah khusus yang dihadapi oleh pasangan yang baru berkahwin dan yang telah mula mempunyai anak. Di tahap awal perkahwinan, masalah kewangan menjadi masalah utama diikuti dengan masalah berkomunikasi. Seterusnya masalah timbul dari masalah sanak saudara pasangan berkaitan. Selepas mempunyai anak, punca masalah utama masih lagi berkisar pada isu-isu berhubung dengan komunikasi dan kewangan, diikuti dengan suatu masalah baru iaitu masalah seks.

Rajah 2

Pemeringkatan Masalah-Masalah Yang Dihadapi Peratusan
1.Komunikasi 45
2.Kewangan 43
3.Seks 43
4.Adik-Beradik 23
5.Rekreasi 15
6.Agama 10
7.Anak-Anak 8
8.Kawan-Kawan 8
9.Rasa Cemburu 3
10.Alkohol dan Dadah 0
11.Lain-Lain 23
Melalui hasil kajian yang dilakukan ini, ahli psikologi cuba mencari jalan terbaik agar pasangan yang akan berkahwin melihat punca masalah yang akan berlaku apabila mereka berkahwin kelak. Dapatkan kajian ini, walaupun cuma bersesuaian dengan 131 pasangan yang dikaji, sekurang-kurangnya dapat memberi kata kunci atau tanda saran kepada pasangan agar berwaspada dengan isu-isu masalah yang mungkin berlaku apabila melalui tahap-tahap awal dalam arena berumahtangga.

Pasangan yang menghadapi konflik dalam rumah tangga terdiri daripada individu yang tidak pernah memikirkan secara serius berhubung dengan perkembangan dan kehidupan normatif yang berlaku dalam kehidupan berumahtangga. Penilaian dalam kehidupan berumahtangga perlu selalu dilakukan. Persoalan-persoalan berhubung dengan, ‘adakah pasangan saya berpuas hati dengan keadaan perjalanan rumah tangga saya sekarang ini?’ harus sentiasa dipersoalkan. Matlamat yang mahu dicapai dalam setahun, tiga tahun, lima tahun, sepuluh tahun dan seterusnya ke tahun-tahun berikut perlu dibincangkan agar kehidupan berumahtangga memberikan rasa kepuasan kepada pasangan. Setiap perkahwinan perlu mempunyai matlamat, sesuai dengan tahap pendapatan dan kedudukan kelas sosial yang dilalui.

Pasangan yang berkahwin harus dapat menghadapi pelbagai situasi dan permintaan baru. Kedatangan anak baru, anak sulung mula ke pusat pengajian tinggi, kematangan pemikiran pasangan dan kehendak-kehendak pasangan harus dilihat sebagai pola-pola kehidupan rumah tangga yang perlu difikirkan bersama.

Kegagalan pasangan memberikan perhatian kepada kehidupan normatif keluarga akan menyebabkan kehidupan berumahtangga menjadi suatu rutin yang perlu diikuti tanpa perancangan teliti untuk menghadapinya. Kehambaran dalam perkahwinan mula dirasai apabila pertelingkahan sering timbul bersebab daripada tidak seriusnya individu untuk berbincang rasa tidak puas hati di antara satu sama lain.

Masalah berkomunikasi secara terbuka untuk melahirkan rasa ketidakpuasan hati dalam perkahwinan merupakan suatu yang taboo dalam masyarakat Melayu. Pasangan yang berkahwin, terutama sekali wanita tidak diberi peluang untuk melahirkan rasa hati secara diplomasi dan terbuka. Cuma melalui pertelingkahan yang timbul dalam keluarga, barulah perasaan hati yang terpendam dapat disalurkan.

Sayangnya, kebanyakan pasangan yang berkahwin hari ini tidak mempunyai perancangan teliti berhubung dengan episod-episod yang harus dibincangkan bersama untuk membentuk suatu keluarga bahagia seperti mana yang dilaungkan kini.

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)