Sunday, March 31, 2013

Akibat perceraian

Bolehkah perceraian menjadikan seseorang itu lebih bahagia berbanding dengan tinggal dalam perkahwinan yang menyiksakan? Ramai orang beranggapan bahawa perkahwinan yang tidak bahagia akan meninggalkan kesan yang negatif kepada perkembangan psikologi, maka perceraian dilihat dapat memberi peluang untuk mereka memulakan hidup baharu yang lebih bahagia dari aspek segi psikologi dan emosi. Tetapi betulkah anggapan tersebut? Setakat yang diketahui, walaupun banyak perdebatan berkaitan dengan isu ini dibuat, malangnya tiada kajian ilmiah yang berbentuk empirikal dijalankan di Malaysia untuk menjawab persoalan ini. Tetapi, oleh kerana perceraian adalah sesuatu yang bersifat sejagat, mana-mana hasil kajian tentang perceraian (kecuali yang bersangkutan dengan isu undang-undang dan budaya) akan memberi kesan yang agak sama. Dalam konteks ini, kajian-kajian tentang perkahwinan dan perceraian dalam masyarakat moden menunjukkan ciri-ciri yang sama yang menghasilkan kesannya yang sama. Atas anggapan itulah maka saya merujuk kepada kajian-kajian empirikal sedia ada untuk menjawab persoalan yang penting ini. Setakat ini dalam konteks persoalan yang dikemukakan, terdapat satu kajian yang relevan yang telah dijalankan oleh Institute for American Values sekitar tahun 2002 yang dapat membantu kita serba sedikit menjawab persoalan tersebut. Dalam kajian mengenai perkahwinan-perkahwinan yang tidak bahagia yang diketuai oleh Prof. Linda Waite dari Universiti Chicago untuk Institute for American Values menunjukkan bahawa responden yang menyatakan mereka tidak bahagia dalam perkahwinan tetapi telah bercerai selepas itu atau tinggal berasingan tidaklah secara puratanya lebih bahagia daripada mereka yang masih tinggal dalam perkahwinan yang tidak membahagiakan. Dalam kata lain mereka masih tetap tidak bahagia walaupun telah bercerai. Kajian ini yang disokong oleh kajian-kajian lain yang dijalankan oleh Institute of Contemporary Families juga menunjukkan perceraian tidak mengurangkan simptom kemurungan yang dialami di kalangan mereka yang tidak bahagia atau meningkatkan harga diri seseorang secara perbandingan dengan mereka yang “menderita” dalam perkahwinan yang tidak membahagiakan. Satu yang menarik dari hasil kajian ini menunjukkan semasa susulan dibuat lima tahun selepas temu bual pertama, kategori pasangan yang menyatakan mereka tidak bahagia tetapi mengambil pendekatan mengelak perceraian akhirnya mendapat kebahagiaan. Dilaporkan hanya jumlah yang kecil sahaja yang mendapat kebahagiaan setelah berkahwin semula dengan orang lain. Persoalan berkaitan yang agak penting difikirkan adalah, adakah orang yang tidak bahagia dalam perkahwinan mereka tetapi menangguhkan hasrat untuk bercerai akhirnya akan mencapai kebahagiaan sekiranya tidak menamatkan perkahwinan mereka? Tiada jawapan tepat setakat ini untuk persoalan tersebut, tetapi kajian-kajian saya sepanjang dua puloh tahun dalam bidang kekeluargaan terutama berkaitan dengan sebab-sebab perceraian menunjukkan mereka yang bercerai dan mereka yang memilih untuk tidak bercerai adalah dari kumpulan yang berbeza. Terdapat bukti-bukti yang menyatakan pasangan yang bercerai melaporkan terdapat lebih banyak konflik dan keganasan rumahtangga berbanding dengan pasangan yang tidak membuat keputusan untuk bercerai. Jenis dan bentuk cabaran perkahwinan yang membawa kepada perceraian sebenarnya berbeza mengikut bagaimana pasangan atau salah seorang daripada pasangan tersebut mengurus cabaran tersebut. Ada cabaran yang secara perbandingannya adalah ringan tetapi kerana tidak diurus dengan baik berakhir dengan perceraian. Tetapi terdapat juga perkahwinan yang menghadapi cabaran yang berat tetapi berkekalan perkahwinannya kerana dapat dikendalikan dengan baik malah dalam hal-hal tertentu mengeratkan lagi hubungan suami isteri tersebut. Dalam konteks ini, banyak kajian lagi perlu dijalankan untuk melihat bagaimana untuk memperbaiki dan membangunkan perkahwinan yang kuat dan kukuh. Begitu juga aspek mana dan bentuk perkahwinan yang tidak membahagiakan yang boleh diperbaiki bagi mengelak perceraian. Perceraian perlu dilihat sebagai langkah terakhir. Malangnya banyak pasangan sekarang mengambil langkah “short-cut” kerana mempunyai ketahanan dan kesabaran di tahap yang rendah. Ini disokong oleh banyak kajian yang menunjukkan bahawa banyak perkahwinan yang terlerai dalam tempoh kurang dari tiga tahun. Tiga tahun pertama perkahwinan dianggap tempoh sangat mencabar kerana pertembungan pasangan yang datang dari personaliti yang berbeza kerana latarbelakang yang berbeza. Atas dasar itulah undang-undang sivil yang terpakai kepada orang-orang bukan Islam iaitu Undang-undang Membaharui (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, hanya membenarkan petisyen perceraian dibuat selepas dua tahun berkahwin kecuali dalam hal-hal luar biasa. Walau bagaimanapun, implikasi kepada larangan ini membawa kepada lebih banyak kemudaratan. Secara perbandingan, Undang-Undang Keluarga Islam sedia ada tidak melarang petisyen perceraian dibuat walaupun selepas sehari berkahwin tetapi pasangan yang ingin bercerai perlulah dinasihati untuk melalui proses kaunseling sebelum mengambil tindakan yang drastik terlebih dahulu. Bukan bentuk dan jenis cabaran yang sebenarnya menjadi sebab untuk bercerai tetapi pengurusan cabaran itu yang menjadi faktor penentu kebahagiaan. Banyak perkahwinan yang bahagia menghadapi cabaran yang sangat hebat seperti kecurangan oleh salah satu atau kedua-dua pasangan, kemurungan, campur tangan pihak mertua atau pengabaian. Persoalannya kenapa terdapat perkahwinan dalam kategori cabaran tersebut terselamat dari perceraian? Jawapannya terdapat dalam hasil-hasil kajian yang membuktikan kesabaran memainkan peranan yang penting dalam ketahanan perkahwinan tersebut. Ramai pasangan menyatakan bahawa perkahwinan mereka menjadi bahagia bukan kerana mereka dapat menyelesaikan masalah sedia ada tetapi mereka bersatu dalam percubaan mereka untuk mengatasi apa juga cabaran sedia ada dan mendatang. Tarbiyyah masa sebenarnya mendewasakan dan banyak cabaran-cabaran dapat diredakan. Mereka yang berjaya menghindari perceraian biasanya memandang rendah kepada perceraian dan kebaikan yang dikatakan hasil dari perceraian. Mereka juga didapati mempunyai rangkaian sosial yang kemas seperti keluarga dan rakan-rakan yang menyokong kepentingan untuk kekal bersama. Saya ingin menutup perbincangan ini dengan sebuah cerita tentang seorang penyelidik yang menemubual satu pasangan yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke lima puluh untuk mencungkil rahsia kebahagiaan mereka. Penyelidik bertanya kepada kedua-dua mereka sama ada dalam tempoh tersebut mereka pernah terfikir untuk bercerai apabila menghadapi cabaran-cabaran dalam perkahwinan mereka. Kedua-dua mereka berkata tidak pernah terfikir berbuat demikian. Selepas temu bual tersebut, makcik tersebut menarik tangan penyelidik dan membisikkan sesuatu di telinganya, “Sepanjang 50 tahun perkahwinan kami, makcik tak pernah terfikir nak bercerai tapi banyak kali terfikir untuk membunuh suami makcik!!” Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2P7WSne93 © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment:

  1. perceraian memiliki dampak yang negatif pada anak,
    orang tua harus lebih memahami hal itu

    ReplyDelete