Tuesday, April 2, 2013

Berbaik semula sebagai suami isteri atau rujuk.

(1) Jika, selepas sesuatu talaq raj'i, persedudukan semula berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hak persekedudukan semula itu dan butir-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi kawasan di mana mereka bermastautin. (2) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuashati bahawa persekedudukan semula telah berlaku mengikut Hukum Syarak, hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu pengesahan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan persekedudukan semula dalam borang yang ditetapkan. (3) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftar persekedudukan semula itu dengan membuat suatu pengesahan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya. (4) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan hal persekedudukan semula sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu. (5) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subseksyen (1) itu dibuat, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan persekedudukan semula itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu pengesahan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan persekedudukan semula itu dengan membuat pengesahan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya. (6) Jika talaq raj'i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu. (7) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan rujuk dan isteri telah bersetuju terhadap rujuk itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintahkan oleh Mahkamah supaya berbaik semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syarak sebaliknya, dan, jika sedemikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 46 (5) dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya. (8) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak ia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya berbaik semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 46 (5) dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

1 comment: