ku telah menikahi Zack selama setahun di sempadan Malaysia. Ini disebabkan Zack telah mempunyai isteri yang dikatakan tidak menjaga badan, panas baran, banyak merokok dan banyak menggunakan wangnya. Zack memujukku bahawa nikah itu adalah untuk melepaskan hukum supaya kami tidak berzina. Zack juga hendak memastikan dia masih mempunyaiku setelah diceraikan isteri pertamanya.
Zack banyak memberi sebab hukum agama apabila melakukan sesuatu yang membuatku terfikir dialah calon suami terbaik untuk ku serahkan mahkota dan harga diriku memandangkan sekarang ramai lelaki yang hanya suka 'bersama' tanpa nikah.
Aku tinggal di Utara tanah air, Zack bekerja sendiri di KL dan hanya pulang ke rumah kami 1 atau 2 hari dalam seminggu. Aku terima keadaan ini disebabkan Zack juga terpaksa pulang ke rumah isteri pertamanya di Pantai Timur . Aku banyak menyuruh Zack memperbaiki rumah-tangganya bersama isteri pertama. Dan pernah ku suruh Zack belikan isteri pertamanya barang kemas apabila Zack membelikanku supaya adil. Setelah 6 bulan kami nikah, barulah aku mendapat tahu Zack masih pulang ke rumah teman wanita mudanya di KL, Anna, yang telah dijalin hubungan sejak 4 tahun lepas. Syak ku terbukti benar kerana aku dapat berhubung terus dan diakui oleh Anna.
Anna pernah menelefonku semasa dia bersama Zack. Aku kenal sangat dengan suara dan cara percakapan suamiku walaupun Zack enggan berbicara bersamaku apabila Anna serahkan handphonenya pada Zack. Aku yakin Zack juga menyayanginya kerana disewakan rumah dan dibelikan kereta. Tetapi Anna tidak mahu menikahi Zack di sempadan dan lebih rela menjadi perempuan simpanannya.
Aku juga telah mendapat bukti gambar dan video Zack membawa isteri orang yang mempunyai 3 orang anak ke dalam bilik di rumah sewanya di Selatan tanah air. Walaupun Zack hampir setiap 2 bulan menukar sim kad nya, amat mudah untukku kesan perbuatan suami. Meronta jiwa apabila mengetahui 'teman tidur' Zack adalah dari kalangan pekerja-pekerja muda imigresen (yang banyak bantu dalam kerja-kerja Zack). Zack telah berjanji setelah nikah, pernikahan itu akan dimaklumkan pada jabatan agama dan dibayar kompaun. Tapi sehingga hari ini Zack tidak melakukannya. Hidupku untuk menjadi pasangan biasa suami isteri seperti menunggu bulan jatuh ke riba dan aku tak sanggup rasanya bersuamikan lelaki yang meniduri ramai wanita.
Tapi Zack tidak mahu melepaskan ku dan sampai akhir hayat takkan akui dia telah 'bersama' dengan wanita-wanita yang kusebut nama mereka walaupun dengan bukti kukuh ditanganku. Bukti pernikahan kami disimpan Zack dan sekarang tak tahu apa yang harus ku buat. Tapi yang pasti, aku mahu dilepaskan. Apakah cara terbaik untukku sekarang? Haruskah aku melaporkan tanpa bukti pernikahan?? Aku mahu Zack hanya bertanggungjawab pada isteri pertamanya dan 7 anak mereka bersama.