Suami mesej 'I miss you', 'I love you', 'Saya nak peluk awak' pada perempuan lain

Admin
0

Assalamualaikum, saya dan suami telah berkahwin hampir 6 tahun dan kami dikurniakan 2 orang anak. Suami saya seorang yang agak pendiam dan adakalanya sukar untuk menelah perasaannya kerana dia jarang meluahkan isi hatinya pada saya, pendek kata dia suka berahsia.

Lain pula halnya dengan saya, rasanya apa yang saya nak saya cakap, akan saya ceritakan semua kepadanya, hinggakan tiada rahsia yang saya simpan dari pengetahuan suami saya itu. Sehinggalah pada Februari yang lalu, saya merasa pelik kerana sikapnya berlainan benar. Telefon bimbit dan komputer di rumah begitu penting kepadanya. Asalnya komputer di rumah itu rosak, namun suami sanggup menghantar ke kedai untuk diperbaiki, dan tanpa pengetahuan saya dia melanggan broadband. Suami ada facebook, itu saya tak hairan kerana pada masa sekarang ramai yang menggunakannya.

Namun apa yang saya pelik, suami sanggup bersengkang mata sehingga ke pukul 4 pagi hanya kerana melayari internet. Handphone sentiasa disisi. Kesabaran saya memang tercabar apatah lagi ketika suami tidur, dia meletakkan handphone di bawah bantalnya. Tak pelikkah begitu?. Saya bangun pagi untuk bersiap ke pejabat dan terdetik hati untuk mengambil handphonenya di bawah bantal. Alangkah hancurnya hati saya apabila menjumpai mesej suami dengan seorang perempuan yang dipanggil 'sayang'. Membaca mesej-mesej itu membuatkan hati saya luluh dan pilu.

Sedangkan untuk memanggil saya dengan ungkapan 'sayang' itu pun tidak pernah, tapi dengan perempuan itu boleh pula. Memang Tuhan itu Maha Berkuasa, saya berjaya mendapatkan alamat email husband dan passwordnya sekali. Dari emailnya lah saya dapat mengetahui mengenai hubungan suami saya dan wanita itu. Bila saya bertanya kepadanya, dia tidak mengaku dan katanya wanita itu tiada hubungan dengannya. Tapi bolehkah saya percaya kata-katanya setelah membaca mesej-mesej husband kepada wanita itu di handphone dan di dalam email.

Ucapan suami saya pada wanita itu membuatkan hati saya tidak dapat menerimanya lagi. 'I miss you', 'I love you', 'Saya nak peluk awak'. Sungguh, sekarang ini biarpun sudah beberapa bulan berlalu, namun saya masih sukar untuk mempercayai suami. Salahkah saya, sedangkan saya hanya menyayangi dia, di pejabat dan di luar rumah pun saya bukan seorang yang suka berkawan dengan lelaki.

Kawan-kawan saya kebanyakannya perempuan. Suami adalah cinta pertama saya, dan harapan saya biarlah jadi yang terakhir. Kini, biarpun tidur bersebelahannya namun saya sering teringat akan perbuatannya yang sanggup curang kepada saya. Ada wanita lain yang pernah hadir dalam hidupnya tanpa saya sedari, dan dia pernah pukul saya hanya kerana saya bertanya kepadanya.

Demi Allah, demi anak-anak saya tetap meneruskan hubungan ini. Namun di hati saya tersimpan dendam yang entahkan bila akan terpadam. Saya menyematkan azam yang akan saya buktikan kepada suami saya. Saya nak dia menyesal kerana pernah berlaku curang dan memukul saya. Saya akan belajar untuk berdikari untuk buktikan pada suami yang saya boleh hidup sendiri jika dia menceraikan saya.

Sehingga kini saya sering berbelah bagi untuk terus mencintai dan setia padanya. Sesungguhnya saya tidak mahu mencintai orang lain selain darinya, dan jika ditakdirkan kami berpisah, sukar untuk saya menyayangi lelaki lain. Semoga Tuhan memberikan saya petunjuk.

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)